Isu bangga Michelle Yeoh menang Oscar, Elvina Mohamad meluat dengan kenyataan PU Syed

Isu bangga Michelle Yeoh menang Oscar, Elvina Mohamad meluat dengan kenyataan PU Syed

Pelakon Datin Elvina Mohamad seolah-olah meluat dengan kenyataan pendakwah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Syed yang mempertikaikan sikap bangga segelintir individu terhadap kemenangan aktres Tan Sri Michelle Yeoh di Anugerah Akademi (Oscar) ke-95 baru-baru ini.

Menurut Elvina atau nama sebenarnya Norzalina Mohamad, bukan satu kesalahan sekiranya sekadar mengucapkan tahniah kepada aktres Hollywood kelahiran Malaysia itu yang mengungguli trofi Pelakon Wanita Terbaik.

“Kalau tahniahkan pemenang pun salah di mata ustaz susahlah ustaz oii! Takda apa pun yang nak dihairankan, dah orang tu menang, kita ucaplah tahniah,” tulisnya.

Pelakon berusia 28 tahun itu meluahkan perkara tersebut menerusi sebuah perkongsian di InstaStory yang turut memaparkan satu tangkap layar artikel mengenai kenyataan pendakwah berkenaan.

Pada masa sama, pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu mempersoalkan segelintir golongan pendakwah yang dilihat sengaja mendiamkan diri apabila membabitkan isu dalam kalangan mereka.

“Kalau para-para PU/DA’I/Ustaz buat hal, buat masalah takda pulak ustaz nak keluar kenyataan pape. Tau pulak sonyap!,” ujarnya sambil meletakkan tanda pagar ‘menjengkelkan’.

Terdahulu, PU Syed menyifatkan kejayaan di anugerah berprestij itu tidak perlu dibanggakan kerana tiada manfaat kepada urusan agama.

“Apa dibangga dengan anugerah Oscar? Membanggakan Malaysia? Apa yang perlu dibanggakan sangat tu? Kita tak boleh berbangga dengan sesuatu yang tidak bermanfaat kepada urusan agama.
“Biarlah mereka nak berbangga dengan kejayaan itu tetapi tidak kepada yang beriman,” tulisnya dalam satu kenyataan di laman Instagram.

Untuk rekod, Yeoh mencipta rekod sebagai bintang Asia pertama meraih trofi terbabit sekali gus menewaskan empat calon lain iaitu Andrea Riseborough (To Leslie); Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).

Sumber: Instagram Elvina Mohamad & PU Syed