Isu campak anak murid: Pihak tadika ‘buang’ cikgu praktikal serta-merta

Isu campak anak murid: Pihak tadika ‘buang’ cikgu praktikal serta-merta

Video seorang wanita dipercayai guru tadika mengangkat dan mencampak anak muridnya telah tular di media sosial telah membuatkan warganet berasa berang.

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh seorang pengguna media sosial di laman Facebook Penduduk Jalan Kebun Klang dan dimuat naik kembali ke laman Facebook My Kuala Langat.

Wanita yang dipercayai guru itu telah mendapat kecaman daripada warganet kerana begitu kasar dalam mengendalikan kanak-kanak di tadika sehingga boleh sahaja mendatangkan kecederaan.

Sehubungan dengan itu, pengguna Facebook yang juga merupakan bapa kepada salah seorang pelajar di tadika tersebut telah tampil memberikan kenyataan selepas mendapatkan penjelasan daripada pengetua tadika itu.

Menurutnya, wanita tersebut bukanlah guru tetap di sekolah tadika itu, tetapi merupakan guru yang sedang menjalani praktikal.

Tambahnya, pihak sekolah sangat serius dalam menangani hal tersebut dan guru berkenaan akan diambil tindakan serta diberhentikan serta merta. Pihak sekolah juga sudah membuat laporan polis berhubung hal ini.

Selain daripada itu, Sheikh Al Fariq juga memaklumkan  video itu dibuat oleh seorang guru yang mahu menghantar rakaman tindakan guru praktikal kepada pihak universiti bagi membuat semakan berkenaan kualiti guru praktikal tersebut.

Namun ia telah tular sebelum sempat rakaman kejadian itu dihantar ke pihak universiti.

Dalam muat naik pengguna Facebook itu juga, dia sangat memuji tindakan pantas pihak sekolah yang segera membantu menyelesaikan isu tersebut kerana perkara seperti itu baru pertama kali terjadi sepanjang 30 tahun tadika terbabit beroperasi.

Sumber: Sheikh Al Fariq