Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said tampil memohon maaf susulan kontroversi ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu lalu, selain menegaskan beliau sedia menerima sebarang teguran terhadap kenyataan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau kesal apabila terdapat beberapa pemimpin tertentu yang mempersoalkan permohonan maaf dibuatnya semalam, termasuk mendakwa ia tidak dilakukan dengan ikhlas.
Noorazli berkata, keikhlasan seseorang tidak wajar diukur berdasarkan pertimbangan politik atau penilaian pihak lain.
“Keikhlasan bukan sesuatu yang boleh ditimbang dengan neraca politik. Ia bukan boleh diukur berdasarkan satu perkataan yang kita suka atau tidak suka.
“Sekiranya apa yang saya sampaikan sudah melukakan hati masyarakat Kristian, saya memohon maaf. Itulah pendirian saya. Malah ada ‘Father’ (paderi) di tempat saya menghubungi dan beri kata semangat kepada saya untuk terus buat baik,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.

Menurutnya, apabila permohonan maaf turut dijadikan ruang untuk menentukan keikhlasan seseorang, perkara itu seolah-olah meletakkan dirinya dalam keadaan dihukum berdasarkan sesuatu yang hanya diketahui oleh individu berkenaan dan Tuhan.
Beliau berkata, sebagai seorang Muslim, beliau patuh kepada ajaran agamanya selain menghormati kesucian agama lain.
Malah, Noorazli berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk mengakui kesilapan selepas ditegur berhubung rujukannya terhadap Mazmur 129 yang didakwa tidak tepat.
“Saya seorang Muslim. Saya patuh pada ajaran agama saya dan atas prinsip yang sama, saya menghormati kesucian agama-agama lain.
“Sebab itulah apabila ditegur bahawa rujukan saya kepada Mazmur 129 tidak tepat, saya tidak mempunyai masalah untuk mengakuinya. Saya tersilap pada rujukan itu dan saya terima,” katanya.

Beliau pada masa sama berharap masyarakat berlaku adil dengan menilai kesilapan dan kenyataannya tanpa membuat andaian mengenai keikhlasan dalam dirinya.
Noorazli berkata, kritikan terhadap kenyataannya boleh diterima sekiranya beliau melakukan kesalahan atau terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan pandangannya.
“Saya tidak meminta sesiapa melupakan apa yang berlaku. Saya hanya meminta supaya kita berlaku adil.
“Tegurlah saya jika saya salah. Kritiklah kenyataan saya jika tidak bersetuju. Tetapi jangan mendakwa mengetahui apa yang berada di dalam hati saya.
“Politik boleh berbeza. Agama boleh berbeza. Tetapi nilai kemanusiaan seperti kasih sayang, saling menghormati dan memaafkan sepatutnya mampu menemukan kita,”tambah beliau.
Noorazli berkata, beliau memilih untuk mengambil pengajaran daripada kontroversi berkenaan dan bergerak ke hadapan dengan penuh rasa hormat terhadap semua agama.
“Kerana agama saya mengajarkan kasih sayang, toleransi dan saling memaafkan. Saya berharap mereka yang mengkritik saya juga bersedia melakukan perkara sama. Kita tidak perlu seagama untuk saling menghormati.
“Kita tidak perlu sependapat untuk saling memaafkan. Dan kita tidak perlu menjadi hakim kepada hati manusia untuk memilih jalan perdamaian,”ujarnya.

Minggu lalu, Noorazli mencetuskan kontroversi selepas membuat jenaka yang mengaitkan paderi dan biarawati Kristian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden UMNO pada PAU.
Kenyataan berkenaan dibuat bagi menegaskan kepentingan kebijaksanaan politik, namun kemudiannya mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.
Sumber: FB Noorazli Said

