Isu kalimah Allah: Pemilik premis dibebas dengan jaminan polis

Isu kalimah Allah: Pemilik premis dibebas dengan jaminan polis

Kangar: Pemilik premis perniagaan perkakasan yang ditahan polis berhubung penemuan kalimah Allah pada sebuah tokong kecil di premisnya di Seriab dekat sini semalam, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri bagi tindakan lanjut.

“Pihak polis memandang serius sebarang perbuatan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan kejadian itu, yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam serta sentiasa menghormati sensitiviti agama dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum serta agama.

Semalam, media melaporkan lelaki berusia 61 tahun itu ditahan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar kira-kira 3 petang.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim memaklumkan polis menerima laporan pada 2.30 petang semalam, selepas seorang lelaki menonton video berkaitan kejadian itu di Facebook “SAYA ANAK PERLIS”.

Kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (AKK 1955).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top