am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Pemandu van persiaran yang terbabit kemalangan di KM212 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, hari ini ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh dadah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abubakar berkata, suspek berusia 55 tahun akan dibawa ke mahkamah majistret esok bagi mendapatkan perintah reman.
“Dalam kemalangan itu, suspek tidak mengalami kecederaan namun, ujian saringan air kencing dijalankan mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, beliau berkata, polis dimaklum kemalangan berlaku pada 10.30 pagi dan siasatan awal mendapati van persiaran itu yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Melaka dipercayai hilang kawalan, serta terbabas ke bahu kiri jalan.
“Van itu membawa lapan penumpang warga India dan akibat kejadian, tiga penumpang iaitu lelaki 52 tahun serta dua kanak-kanak lelaki (9 dan 13 tahun) cedera serta dirawat di Hospital Melaka,” katanya.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




