am@hmetro.com.my
Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, esok bagi menyambung memberi keterangan berhubung siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam perjanjian pelaburan industri semikonduktor bernilai RM1.1 bilion.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, sesi merakam keterangan hari ini di Ibu Pejabat SPRM, di sini berlangsung lebih lapan jam dan kehadiran Rafizi membantu melengkapkan siasatan.
“Rakaman percakapan akan bersambung untuk hari kedua esok jam 10 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, Rafizi berkata, beliau memberi kerjasama penuh dalam sesi merakam keterangan hari pertama itu dan tidak menolak kemungkinan proses berkenaan akan mengambil masa beberapa hari.
Sebelum ini, bekas pembantunya, Chai Jin Shern atau James Chai diambil keterangan selama tiga hari berturut-turut bermula Selasa lalu bagi membantu siasatan kes sama.
Rafizi disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, dengan SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lalu, susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah hingga boleh memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




