am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon dan pempengaruh, Rafidah Ibrahim dibenarkan memasukkan kehadiran oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, dalam kes saman difailkan terhadapnya oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berhubung isu Kampung Sungai Baru.
Memasukkan kehadiran bermaksud seseorang defendan berhasrat untuk membela diri dalam kes saman apabila telah diserahkan dengan writ dan pernyataan tuntutan.
Dengan ini, Rafidah selaku defendan diiktiraf secara sah sebagai hadir dalam prosiding saman berkenaan dan berhak mengambil langkah seterusnya seperti memfailkan pembelaan.
Dalam kes saman terbabit, Khalid yang bertindak selaku plaintif mendakwa Rafidah memfitnahnya cuba memansuhkan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (M.A.S) Kampung Baru dan secara langsung akan menghapuskan tanah rezab Melayu di seluruh Kampung Baru, bukan sahaja di Kampung Sungai Baru.
Perkara itu disahkan peguam, ZulhazmiShariff pada prosiding pengurusan kes saman melalui E-Review yang dikendalikan Penolong Kanan Pendaftar Syalia Ain Zainuddin.
Peguam itu berkata, Rafidah selaku defendan memasukkan kehadiran melalui firma guaman Tetuan Zharif Nizamuddin pada hari ini, dan pihaknya membantah tindakan itu kerana ia dibuat melebihi tempoh masa.
Beliau berkata, pihaknya kemudian memohon supaya kes diteruskan dengan mendengar permohonan ingkar.
Penghakiman ingkar merujuk kepada keputusan mahkamah yang diberikan kepada plaintif apabila pihak yang disaman (defendan) gagal hadir ke mahkamah atau gagal memfailkan pembelaan dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh undang-undang.
Bagaimanapun, menurut Zulhazmi, mahkamah mengguna budi bicara di bawah Aturan 12 Kaedah 5 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
“Jadi kehadiran Rafidah diterima tetapi mengikut Aturan 12 Kaedah 5, Rafidan tidak boleh memfailkan pembelaan kecuali dibenarkan oleh mahkamah,” katanya.
Menurut Khalid dalam tuntutan saman itu, tuduhan bahawa beliau berhasrat menghilangkan tanah rezab Melayu di Kampung Baru adalah sangat berat dan mengundang persepsi yang sangat buruk oleh masyarakat sebagaimana komen oleh pengguna TikTok lain.
Dalam writ saman dan penyataan tuntutan yang difailkan pada 8 Mei lalu, Khalid selaku plaintif berkata, Rafidah bertanggungjawab menyebabkan tersiarnya melalui satu video di dalam akaun TikTok itu pada 14 April lalu.
Khalid berkata, pernyataan dalam video berkenaan, adalah secara jelas tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah serta memburuk-burukkan beliau.
Beliau berkata, defendan masih mengulangi perbuatan sama pada 21 April lalu dan sekali lagi menyebabkan tersiarnya penyataan fitnahsama melalui satu video di dalam akaun TikTok.
“Pernyataan itu secara keseluruhannya memberikan
gambaran buruk, tidak benar, melulu, kasar dan bersifat fitnah terhadap saya kerana saya hanya memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dari 2 Julai 2018 sehingga 24 Februari 2020 sahaja.
“Saya juga menegaskan, tidak pernah ada sebarang cadangan mahu pun keputusan pada ketika itu untuk menghilangkan atau dalam kata lain menghapuskan tanah rezab Melayu sama ada di Kampung Sungai Baru mahu pun di keseluruhan Kampung Baru.
“Penyiaran kedua-dua video di akaun Tiktok itu secara keseluruhannya dibuat secara melulu tanpa usul periksa dan tanpa pertimbangan yang adil dan benar bertujuan memburukkan reputasi dan menjatuhkan nama baik saya sebagai seorang bekas Menteri Kabinet dan pemimpin di peringkat nasional,” katanya.
Khalid berkata, pernyataan itu juga mengundang komen negatif yang menghina, membenci, mencaci, serta bersifat tidak benar dan fitnah terhadap dirinya daripada pengguna Tiktokyang lain.
Katanya, berdasarkan peruntukan perundangan terkini, defendan selaku pemilik akaun TikTok adalah bertanggungjawab terhadap komen negatif berkenaan yang ditulis oleh pengguna lain terhadapnya kerana defendan telah membuka ruang atau platform yang mengundang komen terbabit.
Sehubungan itu, Khalid memohon Rafidah memohon maaf secara bertulis dan terbuka dengan menyiarkan permohonan maaf di dalam akaun TikTok milik wanita itu serta menarik balik dan memadam dua video terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau, ganti rugi punitif dan kos.
© New Straits Times Press (M) Bhd




