am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis menahan sepasang kekasih yang disyaki melakukan penipuan dalam urusan sewa kamera sehingga mengakibatkan kerugian RM13,600.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor menerima tiga laporan daripada tiga pemilik kamera digital yang menjalankan khidmat sewaan kamera, masing-masing satu di Ampang Jaya, Kajang dan Sepang.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati semua mangsa menerima pesanan WhatsApp daripada seorang wanita yang kononnya berminat menyewa kamera digital milik mereka.
“Modus operandi sindiket ini adalah memperdaya mangsa untuk menyerahkan kamera digital kononnya untuk disewa. Suspek kemudian datang berjumpa mangsa di rumah mereka sebelum kamera diserahkan.
“Namun, selepas kamera diserahkan, suspek gagal mengembalikan kamera berkenaan dan tidak dapat dihubungi lagi termasuk memberikan pelbagai alasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas laporan polis yang diterima, pihaknya menahan seorang wanita tempatan yang disyaki suspek utama kes serta teman lelakinya.
“Turut dirampas ialah peralatan telekomunikasi dan resit bayaran yang dipercayai digunakan untuk berurusan dengan mangsa serta kamera yang disewa daripada mangsa.
“Keseluruhan kerugian yang dialami ketiga-tiga mangsa mencecah RM13,600,” katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Shazeli berkata, kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan pertuduhan ke atas suspek dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sindiket penipuan membabitkan urusan jual beli atau sewaan barangan secara dalam talian mahupun bersemuka.
“Orang ramai perlu membuat semakan dengan pihak berkuasa bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan dan mendapatkan maklumat terkini melalui media sosial rasmi JSJK Bukit Aman di pautan https://www.facebook.com/JSJKPDRM,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




