Isu kurang kertas undi: Rakyat Korea Selatan tuntut pilihan raya tempatan diadakan semula

Isu kurang kertas undi: Rakyat Korea Selatan tuntut pilihan raya tempatan diadakan semula

Seoul: Ribuan rakyat Korea Selatan mengadakan protes sehingga awal pagi Ahad bagi menuntut pilihan raya tempatan diadakan semula, susulan masalah kekurangan kertas undi yang mengganggu proses pengundian minggu ini.

Pilihan raya pada Rabu itu merupakan pengundian seluruh negara pertama sejak Presiden Lee Jae Myung memegang jawatan selepas pemecatan bekas presiden konservatif Yoon Suk Yeol berikutan pengisytiharan undang-undang tentera yang singkat pada akhir 2024.

Parti Demokratik pimpinan Lee, yang berhaluan liberal, memenangi kebanyakan pertandingan tetapi gagal merampas jawatan Datuk Bandar Seoul.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Nasional (NEC), Rho Tae-ak, meletakkan jawatan pada Jumaat selepas kemarahan awam terhadap kekurangan kertas undi yang menurut suruhanjaya itu menjejaskan 50 pusat mengundi di seluruh negara, termasuk lebih 30 di ibu negara.

Pada malam Sabtu di Seoul, kira-kira 10,000 orang berkumpul di Stadium SK Olympic Handball, lokasi pengiraan undi pilihan raya itu, menurut Yonhap yang memetik anggaran tidak rasmi polis.

Menjelang jam 2 pagi Ahad, sekurang-kurangnya 1,000 penunjuk perasaan masih berada di lokasi, kebanyakannya berusia 20-an dan 30-an, sambil melambai bendera negara dan melaungkan “Pilihan raya semula, pilihan raya semula”.

Sukarelawan mengagihkan air, kopi dan coklat.

Sebahagian penunjuk perasaan turut membawa haiwan peliharaan, manakala yang lain duduk di atas tikar sambil memegang bendera dan berjaga sepanjang malam.

“Walaupun berlainan fahaman politik, tidak dapat mengundi adalah satu pelanggaran hak kami dalam demokrasi,” kata Seo Jin-hee, 31, kepada AFP.

NEC berkata kertas undi dicetak hanya untuk 50 peratus pengundi layak kerana sebelum ini terdapat lebihan undi tidak digunakan akibat peningkatan undi awal.

Namun, penjelasan itu tidak diterima sebahagian penunjuk perasaan yang menyifatkannya “tidak masuk akal”.

Pada Rabu, masalah pilihan raya itu mencetuskan sekatan selama 35 jam di sebuah pusat mengundi di Seoul, apabila penunjuk perasaan menghalang pengeluaran dua peti undi untuk pengiraan.

Polis kemudian menyuraikan mereka pada Jumaat pagi, dengan rakaman video menunjukkan pergelutan antara polis dan penunjuk perasaan.

Walaupun pengerusi NEC meletakkan jawatan, penunjuk perasaan kembali berkumpul dan menuntut pilihan raya baharu serta siasatan menyeluruh.

Tuduhan bekas presiden Yoon Suk Yeol yang kini dipenjarakan dan dibicarakan atas tuduhan pemberontakan turut mempengaruhi naratif dalam talian, termasuk dakwaan tidak disahkan mengenai keselamatan data pengundi.

Namun, beberapa penunjuk perasaan menegaskan mereka hadir bukan kerana pengaruh politik ekstrem, sebaliknya untuk mempertahankan hak demokrasi.

Penganalisis pula berkata kegagalan teknikal itu menunjukkan kelemahan dalam sistem pengurusan pilihan raya dan menekankan keperluan ketelusan serta akauntabiliti yang lebih ketat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top