Gelombang manusia warnai Mexico City

Gelombang manusia warnai Mexico City

Mexico City: Hanya beberapa hari sebelum menjadi tuan rumah perlawanan pembukaan Piala Dunia, ribuan rakyat Mexico membanjiri jalan utama ibu negara itu semalam dalam usaha mencipta rekod gelombang manusia terbesar di dunia.

Tradisi gelombang manusia itu mula mendapat populariti di stadium bola sepak Mexico ketika Piala Dunia 1986 bagi memberi sokongan kepada pasukan tuan rumah sebelum berkembang menjadi fenomena global.

Seawal pagi, orang ramai hadir memakai jersi pasukan kebangsaan Mexico sambil mengibarkan bendera, menari mengikut alunan muzik dan melakukan regangan sebagai persediaan.

Berdiri di barisan hadapan kumpulan yang memenuhi hampir dua kilometer sepanjang Paseo de la Reforma di tengah-tengah Mexico City, Sally Aviles yakin rekod baharu mampu dicipta.

“Saya yakin kami akan memecahkannya. Sudah ramai yang hadir dan kami mampu melakukannya,” kata pencipta kandungan berusia 31 tahun itu.

“Kami akan berjaya kerana inilah yang sentiasa kami lakukan dalam setiap perlawanan dan di setiap stadium.”

Turut memeriahkan acara ialah wanita yang mengenakan gaun tradisional lengkap dengan topeng rangka ala “catrina”, simbol ikonik yang sinonim dengan sambutan Hari Orang Mati di Mexico.

Orkestra La Sonora Santanera menghiburkan hadirin dengan irama muzik tropika manakala pengacara acara mengarahkan pergerakan serentak peserta.

“Perhatian! Turun melutut, bongkokkan badan dan bangun sepantas mungkin. Angkat tangan setinggi-tingginya!” jeritnya.

Peserta di barisan hadapan memulakan gerakan itu sebelum diikuti peserta lain secara berperingkat sehingga keseluruhan kumpulan kelihatan seperti ombak besar di lautan.

“Saya tidak mahu terlepas peluang menjadi sebahagian daripada acara hebat ini dan menunjukkan kepada dunia keadaan sebenar Mexico iaitu suasana meriah, kasih sayang, perpaduan dan keamanan,” kata Gloria Fragoso, 55, yang memakai hiasan kepala tradisional.

Menurut Gloria, Mexico sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima kehadiran penyokong dari seluruh dunia sempena Piala Dunia yang dianjurkan bersama Kanada dan Amerika Syarikat (AS).

Walaupun negara itu masih berdepan isu keganasan geng, pihak berkuasa berjanji memperketat kawalan keselamatan di bandar tuan rumah iaitu Mexico City, Monterrey dan Guadalajara sepanjang kejohanan berlangsung.

Pihak berkuasa kebudayaan Mexico kemudian memaklumkan menerusi media sosial bahawa rekod gelombang manusia terbesar berjaya dipecahkan, namun butiran lanjut belum didedahkan.

Rekod berkenaan kini menunggu pengesahan rasmi daripada pihak Guinness World Records.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top