PUTRAJAYA – Isu berkaitan kedudukan pemerintahan Negeri Sembilan wajar diselesaikan melalui rundingan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berpendapat, pendekatan itu lebih sesuai berbanding membawa perkara berkenaan ke mahkamah, selain menegaskan kepentingan untuk menghormati Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan.
“Caranya ialah menghormati institusi kedaulatan DKU yang ada dan pada hemat saya, jalan yang terbaik ialah melalui perundingan dan tidak perlu membawa perkara ini ke muka pengadilan atau mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2026 di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN – DUN Negeri Sembilan bubar secara rasmi esok
Undang Negeri Sembilan bantah bubar DUN, dakwa langgar peruntukan undang-undang
BN terbuka kekalkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan – Ahmad Zahid
Undang Yang Empat masyhurkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12
Tunku Nadzaruddin dihalang meninggalkan hotel di Melaka
Mesyuarat DKU selesai, ada acara besar menanti -Peguam
Proses turun takhta Yang di-Pertuan Besar perlu ikut undang-undang – Pakar
Kemelut di Negeri Sembilan mesti diselesaikan segera
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu di negara ini.
Anwar berkata, meskipun Kerajaan Persekutuan tidak terlibat secara langsung dalam isu berkaitan kedudukan pemerintahan Negeri Sembilan, kemuliaan institusi diraja mesti kekal dipertahankan dan perlu melalui setiap kaedah serta peraturannya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hampir dimuktamadkan dan perbincangan lanjut bersama parti komponen BN akan diadakan dalam masa terdekat bagi memastikan pembahagian kerusi dapat dilakukan secara menyeluruh sebelum pengumuman mengenainya dibuat.
“Untuk Johor, telah hampir diselesaikan dan esok saya akan mengadakan perundingan dengan parti komponen BN terutamanya MCA bagi mereka memuktamadkannya dan untuk UMNO, hampir selesai.
“Insya-ALLAH dalam minggu depan kita akan memuktamadkan sepenuhnya dan kita akan umumkan seminggu sebelum tarikh penamaan calon,” kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan mesyuarat khas bagi urusan PRN Johor ke-16 akan diadakan pada 12 Jun ini, manakala untuk Negeri Sembilan, pemakluman rasmi mengenai pembubaran DUN telah diterima semalam.
DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan pada 1 Jun diikuti Negeri Sembilan, yang memiliki 36 kerusi pada semalam (5 Jun). – Bernama



