mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Secara peribadi Inteam memuji penganjuran Anugerah Industri Muzik (AIM) yang pertama kali berlangsung di Sarawak.
“Sambutan yang diterima serta hospitaliti disediakan penganjur memang sangat baik. Kami tak rasa tidak dilayan oleh mereka.
“Secara jujur, kami menikmati pengalaman itu. Media pula datang untuk memberikan liputan kepada pemenang,” kata Hazamin mewakili rakan-rakannya.
Kenyataannya ini bagi mengulas isu panas membabitkan seorang penyanyi nasyid yang mendakwa seolah-olah dipinggirkan media ketika menghadiri AIM Ke-25 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), baru-baru ini.
Hazamin berkata, salah faham ini berlaku kerana faktor teknikal dan ia tidak perlu dipanjangkan.
“Kami melihat ada perkara tertentu tanpa sengaja yang mungkin menyebabkan pihak media belum bersedia ketika itu untuk mendapatkan reaksi daripada penyanyi nasyid berkenaan selaku pemenang pertama diumumkan pada AIM 25.
“Sebenarnya situasi sama turut berlaku ketika giliran Inteam diumumkan sebagai pemenang kategori Vokal Kumpulan Terbaik apabila media masih belum bersedia sepenuhnya untuk mendapatkan reaksi pemenang.
“Saya rasa ada sedikit salah faham. Kategori Lagu Nasyid Terbaik adalah yang terawal diumumkan. Apabila pemenang keluar dari dewan, mungkin media ketika itu belum benar-benar bersedia.
“Malah ketika giliran kami yang diumumkan selepas itu pun, keadaan masih belum sepenuhnya bersedia. Jadi saya rasa ia lebih kepada salah faham dari segi teknikal,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Rindu Sumayyah Hijjaz di Istana Budaya (IB), hari ini.
Hazamin juga tidak menolak kemungkinan tindakan penyanyi terbabit antara lain bertujuan untuk mendapatkan cerita serta liputan lebih luas di media sosial.
“Tetapi mungkin apa yang dilakukan penyanyi juga menjadi satu strategi untuk mendapatkan cerita kerana selepas luahan itu, banyak laporan mengenainya diterbitkan. Itu sekadar pandangan saya.
“Kami berharap media tidak berkecil hati kerana media juga mengenali ramai artis nasyid lain seperti Inteam, Rabbani dan Hijjaz yang memang mesra media.
“Saya rasa artis baharu perlu mengenali dan membina hubungan baik dengan media. Jangan anggap media sebagai orang asing. Kita semua kawan dalam industri,” katanya.
Menurutnya, Inteam sering mendapatkan nasihat dari otai nasyid seperti Azadan Rabbani yang banyak berpesan kepada kami berkenaan hubungan dengan media.
Dalam perkembangan berkaitan, Inteam yang pernah menjadi anak didik Hijjaz dan bernaung dibawah Hijjaz Records kini bertindak selaku penganjur konsert istimewa untuk sifu mereka.
Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah anjuran Inteam Records berlangsung selama dua malam di IB pada 16 dan 17 Oktober ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




