mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penerbit Faizatul Hasanah Hussain atau Hana Hussain dari Million Pictures Sdn Bhd melahirkan perasaan gembira apabila drama terbitannya, Ke Mana Hilang Cinta lakonan Keith Foo, Syamim Freida dan Marc Syahmie yang ditayangkan menerusi slot Samarinda TV3, menjadi trending dikalangan peminat.
Hana berkata, kejayaan drama ini dibantu oleh semua pihak terutamanya barisan pelakon hebat serta jalan cerita mantap yang ditampilkan.
“Ceritanya diambil dari realiti hidup berkenaan Sindrom Othello dan ‘Morbid Jealousy’ atau lebih tepat cemburu buta. Ini adalah drama berat psycho thriller mengenai penyakit Morbid Ortello yang pertama saya terbitkan.
“Penyakit ini wujud dikalangan masyarakat kita tanpa disedari. Penyakit yang perlu sokongan masyarakat sekeliling dan terapi berterusan.
“Saya sendiri suka menerbitkan drama yang banyak memberi input dan kesedaran kepada penonton. Bukan tidak mahu drama cinta tapi drama berbentuk kemasyarakatan dan ilmiah lebih dekat dengan saya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, dia bersama penulis skrip dan pengarah, Azhar Khalid atau Apache melakukan kajian sebaik mungkin agar mesej yang ingin disampaikan jelas kepada penonton.
“Drama menggandingkan Keith sebagai Aidil dan Syamim sebagai Syahira ini mengisahkan Syahira, seorang ‘Interior Designer’ (pereka bentuk dalaman) yang bekerja di sebuah firma berdekatan ibu pejabat syarikat pembinaan di mana Aidil bertugas.
“Kali pertama bertemu, mereka saling jatuh cinta. Aidil terpikat dengan ketelusan Sya. Bagi Aidil, sukar untuk menemui wanita berusia, profesional tetapi rendah hati dan hormat pada lelaki.
“Lebih lagi terhadapnya yang hanya bertugas sebagai Pengurus Pentadbiran. Malah Aidil tidak pandai bergaul menyebabkan dia sukar bertemu jodoh baru setelah kematian isterinya beberapa tahun lalu,” katanya.
Hana berkata, konflik demi konflik terjadi, yang dicetuskan oleh Aidil terhadap kesetiaan isterinya, Syahira.
“Walaupun baru pertama kali bekerjasama dengan Keith dan Syamim, namun mereka memberikan komitmen yang sangat baik untuk watak mereka.
“Kedua-duanya berjaya membawa watak dengan sempurna. Saya dan Apache terpaksa kontrol cara pembawakan karakter Aidil kerana tidak mahu penonton anggap Keith membawa watak orang gila.
“Drama 20 episod ini akan berakhir esok dan saya mengharapkan peminat jangan ketinggalan menonton kerana segala persoalan akan terungkai nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




