am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Sepuluh kenderaan di tempat letak kenderaan tingkat bawah tanah pusat beli-belah di Jalan Wong Ah Fook, di sini, dilaporkan terbakar petang tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 1 Suffian Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 3.40 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin tiba di lokasi kira-kira enam minit kemudian.
Katanya, operasi turut membabitkan anggota dan jentera dari BBP Tebrau, BBP Kempas serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mount Austin dengan kekuatan keseluruhan 40 anggota.
“Kebakaran membabitkan kenderaan di tingkat dua bawah tanah pusat beli belah berkenaan.
“Lapan kenderaan didapati terbakar antara 80 hingga 90 peratus, manakala dua lagi terbakar kira-kira 20 hingga 30 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suffian berkata, pihaknya menjalankan operasi memadam menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki daripada sistem pencegah kebakaran bangunan dan pam jentera.
Katanya, pemeriksaan mendapati sistem pencegah kebakaran dan kipas ekzos di lokasi tidak berfungsi.
Beliau berkata, tiga wanita dilaporkan mengalami sesak nafas dalam kejadian itu, manakala seorang lelaki dewasa dilaporkan selamat.
“Tiga mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum seorang wanita berusia 48 tahun dihantar ke hospital menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Larkin.
“Tiga mangsa wanita terbabit masing-masing berusia 48 dan 35 tahun serta seorang warga Singapura berusia 57 tahun,” katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan di kawasan berkenaan bagi memastikan tiada mangsa lain yang terperangkap.
Katanya, operasi memadam dan pemeriksaan masih dijalankan ketika ini.
Terdahulu, video menunjukkan asap hitam tebal keluar dari aras bawah tanah premis berkenaan tular di laman sosial.
Kejadian turut menyebabkan pengunjung keluar dan berhimpun di luar pusat beli-belah berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




