am@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menegaskan bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk mengenakan fatwa ke atas individu beragama Islam adalah kekal sah dan tidak terjejas.
Penegasan itu sebagai reaksi kepada keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini dalam kes membabitkan Sisters in Islam (SIS).
Presiden PGSM, Musa Awang menjelaskan bahawa keputusan mahkamah tertinggi negara itu hanya mentafsirkan bahawa fatwa terpakai kepada ‘orang sebenar’ (natural persons) dan bukannya kepada entiti undang-undang seperti syarikat atau pertubuhan, yang dikenali sebagai ‘orang buatan’ (artificial persons).
Menurut beliau, mahkamah tidak sama sekali membatalkan atau menyentuh isi kandungan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sebelum ini.
“Mahkamah Persekutuan tidak membuat sebarang komen terhadap kandungan fatwa yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat.
“Ini bermakna kuasa pihak berkuasa agama negeri untuk mengeluarkan fatwa ke atas penganut Islam masih kekal dan sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kes yang berkenaan melibatkan cabaran undang-undang oleh SIS Forum (Malaysia) dan pengasasnya terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada tahun 2014.
Walaupun fatwa tersebut kini tidak boleh dikuatkuasakan secara langsung ke atas SIS sebagai sebuah pertubuhan, Musa menegaskan bahawa individu Muslim yang menguruskan atau menjadi ahli dalam mana-mana pertubuhan tetap terikat dengan fatwa yang dikeluarkan.
“Sesebuah pertubuhan tidak bergerak sendiri, ia digerakkan oleh individu. Justeru, individu Muslim yang bertanggungjawab dalam sesebuah pertubuhan itu kekal tertakluk kepada fatwa yang dikeluarkan,” katanya.
Beliau menambah, penghakiman Mahkamah Persekutuan itu tidak menafikan keabsahan larangan terhadap mana-mana individu Islam daripada menganut fahaman pluralisme, liberalisme, atau fahaman lain yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Sementara itu, katanya, PGSM turut menggesa agar semua peruntukan undang-undang berkaitan hal ehwal Islam di negara ini disemak dan ditambah baik secara berterusan.
“Usaha penambahbaikan ini perlu melibatkan sesi libat urus dengan pelbagai pihak agar peruntukan yang ada bukan sahaja memenuhi kehendak hukum syarak, malah selari dengan kerangka perundangan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




