Isu adegan tidak sopan dalam sebuah persembahan teater di Universiti Malaya (UM) yang tular di media sosial kini mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menteri akan segera dapatkan maklumat
Memetik laporan daripada Kosmo! Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir memaklumkan pihaknya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada universiti berkenaan berhubung perkara itu.
“Tadi saya ada tengok, ada dalam media sosial. Saya akan dapatkan maklumat terlebih dahulu daripada pihak UM.
“Apa pun, saya akan dapatkan (maklumat),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Naik Taraf Perpustakaan Digital Universiti of Cyberjaya (UoC) di sini hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan babak intim antara seorang lelaki dan wanita di atas pentas yang dipercayai sebahagian daripada pementasan teater di UM.

Susulan itu, pihak universiti tampil memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku serta kegusaran yang timbul dalam kalangan masyarakat.
UM turut memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius isu berkenaan dan mengambil maklum setiap kebimbangan yang dibangkitkan oleh orang ramai.
Sumber: Kosmo!




