am@hmetro.com.my
Alor Setar: Meskipun pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid direhatkan daripada bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM), namun penajanya, Olive House tidak berhasrat untuk menarik diri buat sementara ini.
Ia susulan isu pertikaian berkaitan pengacara itu di media sosial berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.
Isu terbabit sedang hangat dibincangkan oleh pelbagai pihak di media sosial sehingga menimbulkan dakwaan bahawa Olive House bakal menarik diri menaja rancangan berkenaan.
Ketua Pegawai Pemasarannya, Siti Rusyidah Yahya bagaimanapun menafikan perkara itu malah mereka tidak berhasrat untuk berbuat demikian setakat ini.
Beliau berkata, Olive House selaku penaja utama selama lima tahun bagi rancangan Salam Baitullah dan tidak berhasrat untuk menarik diri.
Agenda Olive House jelas untuk membantu masyarakat merealisasikan gaya hidup aafiyat dah salah satunya adalah dengan menaja program seumpama ini.
“Walaupun terpalit dengan kontroversi ini, Olive House akan terus menyokong asatizah malah program Salam Baitullah ini turut membantu jemaah dan bakal jemaah mendapatkan perkongsian maklumat di Tanah suci,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.
Siti Rusyidah berkata, pihaknya akan menyokong setiap keputusan yang dilakukan oleh RTM berhubung isu berkenaan malah berharap dapat diselesaikan dengan baik.
Beliau berkata, Olive House adalah jenama yang dipercayai dan produk utamanya iaitu Olivie sudah pun terjual lebih sejuta botol sepanjang dipasarkan.
Media sebelum ini melaporkan, pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid direhatkan daripada bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM), susulan isu pertikaian di media sosial berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman menerusi ciapan di laman sosial X, semalam.
Difahamkan, langkah itu dibuat selepas Don Daniyal dikritik oleh beberapa pihak ekoran dakwaannya berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.
Dalam dakwaan dibuat sewaktu bersiaran di sebuah stesen radio, Don Daniyal mendakwa baginda pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani sebanyak tiga kali dan cinta pertama Rasulullah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




