sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bintang berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri akan memanfaatkan rehat yang ada untuk melakukan sesi pemulihan agar dirinya kembali cergas seperti sedia kala selepas mengalami kecederaan di Piala Negara-Negara UCI di Konya, Turkiye minggu lalu.
Jelas Izzah Izzati, masa rehat agak panjang juga dilihat memberi kelebihan buat dirinya dalam mengatur persiapan lebih rapi sebelum kembali menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan yang berlangsung 20 hingga 25 Mei depan.
“Secara keseluruhan, proses pemulihan (kecederaan) sudah cukup dan luka pun semakin okey. Saya fikir kecederaan memang sudah semakin baik dan hasil pemeriksaan di ISN juga mendapati tidak serius.
“Alhamdulillah selepas perlumbaan di Turkiye, memang ada masa cukup panjang sebelum kejohanan besar. Selepas ini ada kejohanan kebangsaan pada Mei nanti dan memang saya ambil serius,” katanya.
Sebelum ini, atlet berusia 22 tahun itu juga melakukan rawatan susulan dengan Institut Sukan Negara (ISN) dan dia bersyukur apabila tiada sebarang tanda-tanda kecederaan serius dialaminya.
Untuk makluman, ketika beraksi di pusingan pertama repechage di Velodrom Konya, Izzah Izzati terbabit kemalangan kecil bersama pelumba Trinidad and Tobago, Makaira Wallace menyebabkan dia gagal menamatkan acara itu.
Kesan daripada itu, dia mengalami kecederaan lutut bengkak namun ia tidak memberi kesan terlalu serius buat dirinya.
Sementara itu, bagi memastikan kem trek berbasikal negara terus mempamerkan persaingan kompetitif, mereka akan mengadakan latihan di Jerman pada Mei depan sebagai pendedahan buat setiap pelumba dan berharap itu dapat membantu meningkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




