am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tukang masak peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jaafar Ishak, 79, meletakkan harapan tinggi agar majikannya dibenarkan menjalani baki hukuman penjara di rumah hari ini.
Jaafar berkata, sekiranya Najib pulang ke rumah, dia akan menyediakan hidangan kegemaran bekas perdana menteri itu iaitu sup kicap.
Jaafar yang sudah lebih tiga dekad berkhidmat dengan Najib berkata, dia bekerja dengan keluarga berkenaan sejak 1987.
Katanya, sup kicap adalah hidangan ringkas tetapi menjadi pilihan utama Najib.
Menurutnya, Najib dan keluarganya juga menggemari gulai kawah serta puding raja sebagai pencuci mulut.
“Kegemaran beliau banyak, tapi yang paling suka sup kicap,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Jaafar berkata, dia memang berniat menyediakan hidangan istimewa sekiranya Najib dibenarkan pulang ke rumah.
“Insya-Allah memang ada niat nak masak istimewa kalau dia balik, mungkin bukan hari ini, tetapi kalau ada majlis kecil di rumah nanti, saya akan sediakan,” katanya.
Jaafar berkata, Najib jarang menunjukkan kemarahan secara jelas dan terkenal dengan sikap tenang.
Katanya, sikap itu membuatkan orang sekeliling sukar meneka apabila Najib benar-benar marah.
“Mana kita faham marah dia cara mana, beliau sangat sabar orangnya,” katanya.
Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Alice Loke dijadual menyampaikan keputusannya dalam semakan kehakiman difailkan Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan, memohon menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.
Keputusan itu akan menentukan sama ada Najib akan dibenar menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah atau sebaliknya terus kekal di penjara.
Najib kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Dalam kes berprofil tinggi dihadapinya, Najib menghabiskan semua peringkat rayuannya selepas gagal membatalkan sabitan dan hukuman berkenaan.
Pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa hukuman penjara asal Najib selama 12 tahun dan denda RM210 juta dikurangkan kepada enam tahun penjara serta denda RM50 juta.
Menurut kenyataan itu, Najib dijadual dibebaskan pada 23 Ogos 2028, namun sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara akan ditambah satu tahun dan tarikh pembebasan akan menjadi 23 Ogos 2029.
Dua bulan kemudian, pada 1 April 2024, beliau memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan mendakwa wujud satu Titah Adendum atau perintah tambahan diraja yang membolehkannya menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta kerajaan sebagai responden pertama hingga ketujuh.
Dalam notis permohonannya, Najib memohon perintah mandamus supaya semua atau mana-mana responden mengesahkan dan memperakui kewujudan perintah tambahan bertarikh 29 Januari 2024 itu.
Najib juga memohon perintah mandamus supaya, sekiranya perintah tambahan itu wujud, semua atau mana-mana responden melaksanakan perintah diraja berkenaan dan memindahkannya dengan segera dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Pada 4 Julai 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib dengan alasan afidavit sokongan mengandungi keterangan dengar cakap.
Keputusan itu mendorong Najib merayu ke Mahkamah Rayuan, di mana beliau memenangi rayuan berkenaan melalui keputusan majoriti 2-1, dengan perintah supaya perkara itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh.
Pejabat Peguam Negara (AGC) kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu di Mahkamah Persekutuan.
Pada 13 Ogos, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Malaya ketika itu, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim menolak rayuan AGC dan mengarahkan supaya semakan kehakiman Najib dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh berdasarkan merit kes.
Kes itu kembali didengar di Mahkamah Tinggi di hadapan Alice yang mendengar hujahan semua pihak dan menetapkan 22 Disember (hari ini) sebagai tarikh keputusan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




