Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan kemerosotan Tabung Haji bukan berpunca daripada masyarakat Cina atau India, sebaliknya dilakukan oleh individu Melayu sendiri, sekali gus menolak naratif perkauman yang sering dimainkan dalam isu tersebut.
Menurut laporan Malaysia Gazette, beliau berkata, proses memulihkan semula institusi itu turut diterajui pemimpin Melayu bersama bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
“Yang mengkhianati Tabung Haji bukan Cina, bukan India… Melayu. Yang menyelamatkan Tabung Haji Melayu juga, Mujahid Yusof Rawa bersama Lim Guan Eng,” katanya ketika berucap pada Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan di Sikamat, Seremban malam tadi.
Foto: FB Mohamad Sabu
Mohamad berkata, orang ramai kini berpeluang meneliti hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menurutnya akan memperincikan dakwaan penyelewengan membabitkan Tabung Haji.
Menurutnya yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, laporan polis serta tindakan lanjut dijangka diambil berdasarkan dapatan siasatan berkenaan.
“Laporan polis serta tindakan susulan dijangka diambil berdasarkan hasil siasatan tersebut.
“Isu penyelewengan kewangan tidak boleh dilihat berdasarkan kaum kerana skandal besar seperti 1MDB juga melibatkan pemimpin Melayu,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad menyuarakan rasa kecewa terhadap amalan politik ‘tebuk atap’ yang disifatkannya sebagai punca ketidakstabilan pentadbiran negara.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan sepenuhnya kepada urusan mentadbir dan membangunkan negara, namun sering berdepan pilihan raya susulan kemelut politik.
“Saya sudah meluat dengan politik tebuk atap. Kita baru berjalan tiga tahun lebih, tiba-tiba pilihan raya lagi, Johor, Negeri Sembilan, Melaka… sampai bila?” soalnya.
Foto: FB Mohamad Sabu
Tambah beliau, kekerapan pilihan raya turut menjejaskan kelancaran pentadbiran apabila menteri perlu meninggalkan tanggungjawab rasmi untuk berkempen membantu calon parti masing-masing.
“Keadaan itu tidak baik untuk kestabilan pentadbiran negara,” katanya lagi.
Sumber: Malaysia Gazette (Nizam Zain)




