Jabatan Perangkaan diperkasa, jadi agensi pusat perkhidmatan statistik

Jabatan Perangkaan diperkasa, jadi agensi pusat perkhidmatan statistik

latifah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri berkata, Jabatan Perangkaan akan diperkasa sebagai agensi pusat dengan pengukuhan organisasi serta modenisasi perkhidmatan statistik negara.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) yang dipengerusikannya, hari ini.

Katanya, mesyuarat itu bersetuju melantik Ketua Pegawai Data (CDO) melalui penugasan semula tugas pegawai sedia ada di setiap kementerian, jabatan atau agensi di peringkat persekutuan dan negeri mulai tahun ini secara berperingkat.

“Mesyuarat MSDN juga bersetuju mengenai pelaksanaan rancangan tindakan Pengukuhan Sistem Statistik Negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pemerkasaan Jabatan Perangkaan itu berikutan MSDN berpendapat data adalah aset negara yang perlu diurus dengan baik supaya dapat memberi pulangan yang besar kepada negara.

Katanya, data yang mengandungi maklumat penting itu boleh memberi garis panduan ke arah pencapaian matlamat dasar dan wawasan negara.

“Kepelbagaian maklumat di peringkat nasional amat kritikal untuk diselaraskan. Krisis kesihatan dan bencana alam yang melanda negara turut menuntut kepada keperluan ketersediaan data lebih komprehensif dan bersepadu.

“Ia akan meneraju maklumat peringkat tertinggi negara (kerajaan dan swasta), penyaluran data terkini dan mengharmonikan proses kerja statistik,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sebuah Jawatankuasa Eksekutif dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali ditubuhkan untuk memacu kolaborasi antara kementerian dan agensi serta pihak swasta dalam merealisasikan agenda berpandukan hala tuju MSDN.

Katanya, empat kluster dikenal pasti sebagai komponen penggerak di bawah Jawatankuasa Eksekutif yang berperanan mengenal pasti dan menentukan keutamaan bagi memenuhi keperluan pengukuhan sistem statistik negara.

“Kluster itu termasuk ekonomi, pertanian dan perindustrian; kluster pendidikan, sosial dan kependudukan; kluster kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan serta kluster infrastruktur, teknologi dan alam sekitar.

“Ia juga akan menyelaras keperluan teknikal, pungutan serta penyebaran statistik supaya perkongsian data sedia ada daripada kementerian, agensi awam dan swasta dapat digunakan dengan cekap ke arah penghasilan output statistik rasmi berimpak tinggi dalam merealisasikan agenda berpandukan hala tuju MSDN,” katanya.

Ismail Sabri berkata, bagi menyokong MSDN di peringkat Persekutuan, MSDNNegeri dan Wilayah (MSDNgW) akan ditubuhkan di setiap negeri dan Wilayah Persekutuan bagi memantapkan tadbir urus sistem statistik negeri dan daerah sehingga peringkat terkecil seperti kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berharap penubuhan MSDN mampu memberikan impak positif antaranya menjamin ketersediaan data yang lebih holistik dalam merangka dasar jangka pendek dan jangka panjang negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top