zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Peniaga didenda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini kerana bersubahat dengan menjadi saksi perkahwinan tanpa kebenaran pendaftar.
Che Sembilan Che Ngah, 67, turut berdepan hukuman penjara satu tahun sekiranya gagal menjelaskan denda itu.
Hakim Mohd Nazri Yusof memutuskan hukuman demikian selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 137 yang dibaca bersama Seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 enakmen sama.
Berdasarkan fakta kes, siasatan dijalankan terhadap perkahwinan sepasang lelaki dan perempuan di wilayah Narathiwat, Thailand pada 7 Ogos 2022 yang mendapati tertuduh mengambil bahagian dengan menjadi saksi kepada pasangan berkenaan.
Perkahwinan itu juga tidak mendapat kebenaran daripada pendaftar.
Sebelum ini, tertuduh pernah dihukum denda RM3,500 atau empat bulan penjara atas kesalahan sama pada 22 Oktober 2023.
Terdahulu, Mohd Nazri memberi amaran hukuman lebih berat iaitu pemenjaraan akan dikenakan terhadap tertuduh sekiranya melakukan kesalahan sama selepas ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
© New Straits Times Press (M) Bhd