Jae Hong mahu pemain kurangkan kesilapan

Jae Hong mahu pemain kurangkan kesilapan

sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan Darul Naim (KDN FC) , Park Jae Hong mahu anak buahnya kurang membuat kesilapan ketika berdepan Terengganu, esok.

Jae Hong berkata, mereka sudah melihat permainan Terengganu dan sudah melawan pasukan itu pada pra musim lalu dan mengakui lawan adalah pasukan yang bagus dan terbaik di Malaysia, pada waktu ini.

Katanya, bagaimanapun beliau tetap mahu pasukan kijang emas memenangi perlawanan ketika berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi perlawanan ketiga Liga Super 2024/25.

“Kami akan cuba berikan yang terbaik dari segi teknikal dan juga taktikal. Kami juga perlu menunjukkan kematangan bila bermain,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, dua perlawanan Liga Super sebelum ini, pasukannya tidak bersedia dengan baik dan mempelajari kekuatan atau kelemahan lawan, tetapi pertembungan esok, dia yakin pemainnya akan memberi saingan kepada sang penyu.

“Sekarang bergantung kepada komunikasi kami, kurangkan kesilapan dan guna segala kelebihan dalam situasi bola mati.

“Kami juga kena fokus pada setiap minit perlawanan serta main laju apabila menyerang, yang penting pemain kena main secara terbuka supaya dapat mencari jaringan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd