mohamadridzuan@hmetro.com.my
PELAKON jelita, Anna Jobling berharap selebriti atau pempengaruh yang berjaya menembusi pasaran di luar negara agar menjaga nama baik dan tidak memalukan negara.
Anna yang berulang-alik ke Jakarta, Indonesia memenuhi tawaran lakonan mengakui, dia seronok melihat semakin ramai artis Malaysia diterima seperti pempengaruh Aisar Khaled yang menjadi fenomena di negara seberang itu.
Malah, Anna juga tumpang gembira apabila pempengaruh dan model, Ameera Khan semakin dikenali.
“Saya lihat semakin ramai artis berjaya melebarkan sayap di Indonesia. Bukan saya buka pintu, tetapi itu adalah rezeki mereka.
“Kalau ada rezeki kepada pelakon atau pempengaruh lain, jangan lepaskan peluang. Nikmati dan buatlah kerja betul-betul.
“Gunakan kesempatan yang ada untuk kembangkan lagi karier,” katanya yang ditemui pada majlis Kempen Raya Tomei Raya Keepsakes: Written in Gold, baru-baru ini.
Berbicara mengenai perlantikan sebagai Duta Tomei, Anna berkata, dia amat berbesar hati dan ini adalah kali pertama dilantik sebagai duta barang kemas.
“Sudah biasa memakai emas dan mula menyimpan sejak mula bekerja. Saya memakai emas sama ada cincin atau anting-anting, tapi akan membukanya apabila bekerja,” katanya.
Sementara itu, ditanya pandangan teraju drama Syurga Itu Bukan Mudah berkenaan mengenai kisah sekumpulan YouTuber mencetuskan kekecohan dengan menyebarkan berita palsu mengenai kehilangan pempengaruh wanita di sebuah hutan di Bandung, Anna berkata, tindakan itu adalah tidak wajar.
Katanya, dia tidak begitu mengikuti insiden itu, tetapi tahu mengenainya kerana kisah itu tular dalam semua platform media sosial.
“Saya hanya baca sedikit sahaja dan tidak begitu ambil tahu. Cuma, apa yang dikesalkan, bila dapat peluang, memalukan nama negara dengan tindakan seperti itu.
“Saya pernah berlakon filem seram, tetapi tak hilang pun. Bukan mudah untuk dapat peluang dan rezeki di negeri seberang, jadi jagalah betul-betul.
“Jangan jatuhkan nama negara, elak cetuskan apa-apa masalah di tanah seberang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




