Jakoa nafi sekat orang luar masuk ke kampung Orang Asli tanpa asas munasabah

Jakoa nafi sekat orang luar masuk ke kampung Orang Asli tanpa asas munasabah

SHAH ALAM – Dakwaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menyekat kemasukan pihak luar ke perkampungan Orang Asli tanpa asas yang munasabah adalah tidak benar.

Jakoa dalam satu kenyataan berkata, malah rekod rasmi menunjukkan majoriti permohonan yang diterima telah diberikan kelulusan.

Menurutnya, pada 2025 sebanyak 395 daripada 415 permohonan (95 peratus) telah diluluskan manakala tahun 2026 (setakat ini) mencatat 255 daripada 259 permohonan (98 peratus).

“Kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Jakoa bukan bertujuan mewujudkan halangan birokrasi, sebaliknya sebagai mekanisme tadbir urus yang terbaik untuk memastikan setiap aktiviti menghormati prinsip Free, Prior and Informed Consent (FPIC), yang merangkumi persetujuan mandatori daripada institusi Tok Batin atau Penghulu.

“Prosedur ini penting atas tiga faktor antaranya akauntabiliti dan pengurusan risiko, biosekuriti dan perlindungan kesihatan dan integriti data dan pemeliharaan budaya.

“Dalam keadaan tertentu, permohonan mungkin tidak dapat dipertimbangkan sekiranya terdapat faktor yang berpotensi menjejaskan kesejahteraan komuniti, termasuk unsur eksploitasi kandungan, penyebaran fahaman tidak sesuai atau tindakan yang boleh mengganggu keharmonian institusi kepimpinan adat setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, tindakan sekatan memasuki perkampungan Orang Asli oleh Jakoa dan Jabatan Perhutanan didakwa satu penghinaan terhadap kedaulatan, maruah dan kedudukan Tok Batin.

Kenyataan bersama Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) dan Pusat KOMAS menegaskan, Tok Batin dan barisan kepimpinan kampung mempunyai hak mutlak untuk membuat sebarang keputusan, mengadakan perjumpaan, menganjurkan program serta menguruskan hal ehwal di wilayah adat mereka.

Menurutnya, mereka sama sekali tidak perlu memohon izin atau kelulusan daripada Jabatan Perhutanan, Jakoa mahupun pihak polis untuk urusan dalaman komuniti mereka.

Tambah Jakoa, pihaknya percaya bahawa pembangunan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli akan lebih berkesan dicapai melalui kerjasama profesional, saling menghormati dan pematuhan terhadap tatacara sedia ada, selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta 134.

“Pihak Jabatan kekal komited untuk mempermudah urusan mana-mana pihak yang ingin menyumbang dan bekerjasama demi manfaat komuniti Orang Asli secara bertanggungjawab dan beretika.

“Kerjasama ini amat dihargai dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi dan kelestarian komuniti Orang Asli selari dengan prinsip No One Left Behind di bawah kerangka Sustainable Development Goals (SDG) 2030,” ulasnya.

 

 

Scroll to Top