Jalan Teratai di Meru 'tenang'

Jalan Teratai di Meru 'tenang'

bhnews@bh.com.my

KLANG: Keadaan dan suasana di sekitar Jalan Teratai, Meru berhampiran kilang sarung tangan Top Glove kini agak ‘tenang’ tanpa kehadiran kumpulan warga asing yang melepak, bersiar-siar, menunggang basikal dalam jumlah yang ramai di seperti yang tular sebelum ini.

Tinjauan NSTP sekitar jam 6 petang hingga 7 malam tadi mendapati, hanya terdapat kumpulan kecil warga asing silih berganti membeli keperluan makanan dari dua lori makanan dan van di bahu jalan berdepan Taman Bayu, berhampiran kilang itu.

Kebanyakan mereka berjalan atau menaiki basikal dalam jumlah dua hingga tiga orang untuk membeli barang keperluan dari peniaga berkenaan.

Turut kelihatan beberapa kereta peronda polis termasuk polis bermotosikal meronda di sekitar lokasi yang mendapat jolokan ‘Dhaka’ oleh warga maya sejak penularan gambar terbabit.

Seorang penduduk tempatan di Taman Bayu yang enggan dikenali mendakwa, kenderaan menjual bahan mentah seperti sayur serta makanan itu akan berada di lokasi berkenaan pada setiap hari Rabu serta Sabtu.

Bagaimanapun katanya, penduduk juga tidak pasti sama ada aktiviti perniagaan di situ mendapat kebenaran pihak berkuasa atau sebaliknya.

“Kami penduduk di sini bimbang, lama-kelamaan jumlah mereka yang datang dan tinggal di sini semakin ramai, tambahan pula kes COVID-19 semakin meningkat di Klang.

“Demi keselamatan keluarga, jika anak atau isteri ke mana-mana, pulang agak lewat, saya akan menunggu mereka di pagar rumah,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Penghulu Mukim Kapar, Jamil Jemain berkata, masyarakat setempat bimbang dengan peningkatan dan penularan kluster industri terutama di Meru.

“Pandemik COVID-19 semakin ganas dan tidak terkawal, kita perlu kerjasama semua pihak. Kami harap, kilang di Meru mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pengusaha kilang juga perlu memastikan pekerja tidak berkeliaran di luar kawasan tempat tinggal mereka sesuka hati.

“Sepatutnya, jika keluar beli barang keperluan kenalah ikut SOP dan tidak perlu berkumpul beramai-ramai,” katanya.

Beliau juga berharap, pemantauan dan penguatkuasaan dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta semua pihak bertanggungjawab dipertingkatkan.

“Bila isu ini sudah viral, kami nampak pihak berkuasa kerap membuat rondaan dan pemantauan. Semoga usaha ini berterusan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top