bhnews@bh.com.my
PITAS: Kerosakan jambatan gantung menyeberangi Sungai Bengkoka, di sini, akibat banjir pada hujung tahun lalu menyebabkan 58 kanak-kanak terpaksa menyeberangi sungai menggunakan perahu kecil untuk ke sekolah.
Semua kanak-kanak dari lima kampung berbeza iaitu Kampung Bilangau Besar, Kampung Sapatalang, Kampung Salungkapit, Kampung Mandurian Laut dan Kampung Kobon juga terpaksa menanggung kos tambang perahu RM2 seorang untuk ke sekolah di Kampung Dandun, yang terletak di seberang sungai.
Ketua Kampung Bilangau Besar, Eddword Upak berkata, jambatan gantung terbabit rosak disebabkan banjir besar yang berlaku di Pitas pada hujung tahun lalu.
“Jambatan gantung itu sudah mula rosak ketika banjir pertama kali melanda pada Pada 28 Disember tahun lalu. Namun banjir kalu kedua dengan skala sangat besar menyebabkan jambatan gantung terbabit rosak teruk sehingga tidak boleh digunakan lagi.
“Disebabkan itu, penduduk kampung dari lima kampung berkenaan terpaksa membayar tambang perahu untuk menyeberangi sungai termasuklah murid yang mahu ke sekolah.
“Menurut ibu bapa murid, harga tambang perahu ulang balik dikenakan RM2 untuk kanak-kanak, manakala orang dewasa sebanyak RM3. Majoriti penduduk di lima kampung ini hanya bekerja sebagai petani,” katanya.
Eddword berkata, jambatan gantung terbabit amat penting kerana ia juga menghubungkan sekurang-kurangnya 30 kampung dengan ke klinik di Kampung Dandun.
Oleh itu, beliau memohon mana-mana pihak membantu memperbaiki jambatan gantung terbabit demi keselamatan penduduk kampung terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




