Jambatan uzur tunggu mangsa

Jambatan uzur tunggu mangsa

am@hmetro.com.my

Kulai: Penduduk Kampung Sri Muar di sini menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan jambatan berkembar di kampung itu yang didakwa rosak dan agak berbahaya untuk digunakan.

Jambatan yang menghubungkan dua kampung iaitu Kampung Sri Muar dan Kampung Murni Jaya adalah laluan utama penduduk kampung berkenaan untuk ke jalan utama.

Penduduk, Selamat Markon, 66, berkata, kerosakan fizikal jambatan itu sudah berlaku sekian lama, namun ia dibaiki sedikit demi sedikit dan tahun lalu keadaannya semakin membimbangkan serta berisiko mengancam keselamatan pengguna.

“Jambatan ini sangat penting kerana ia menjadi laluan untuk motosikal, kereta, serta lori yang membawa hasil pertanian penduduk kampung ke luar.

“Kami risau melihat keadaan jambatan yang sudah lama rosak. Lubang dan kesan runtuhan pun mula kelihatan. Ada besi penghadangnya juga sudah berlubang besar.

“Jika dibiarkan tanpa tindakan segera, kami bimbang ia akan mendatangkan risiko terutama kepada keselamatan anak-anak sekolah yang lalu di sini setiap hari,” katanya yang sudah tinggal di kampung itu sejak 1966.

Sementara itu, Ketua Kampung Sri Muar, Mohd Daud Parman berkata, isu kerosakan jambatan itu sudah dibawa ke pengetahuan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah berikutan rungutan berterusan daripada penduduk.

“Sebenarnya isu ini sudah berlarutan sebelum saya jadi ketua kampung, tetapi sejak setahun lalu apabila saya jadi ketua kampung, saya usahakan untuk masalah ini diselesaikan segera.

“Walaupun jambatan sedia ada masih boleh dilalui, namun keadaannya yang sudah berusia lebih 30 tahun dan mengalami kerosakan sejak setahun lalu, menjadikannya tidak lagi wajar digunakan dalam jangka masa panjang.

“Kini semua jenis kenderaan berat tidak dibenarkan masuk (melaluinya) bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Menurut Mohd Daud, penduduk berharap agar kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan dengan segera demi keselesaan dan keselamatan warga setempat yang bergantung sepenuhnya kepada laluan berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top