'Jangan buat cerita bukan-bukan' – Along Cham

'Jangan buat cerita bukan-bukan' – Along Cham

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Sepang: Pelakon dan pelawak, Along Cham, 42, tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat laporan bersifat prejudis terhadap pertuduhan kes jenayah dihadapinya yang belum selesai.

Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad berkata, dia perlu mengambil tindakan itu terhadap laporan yang didakwa bukan-bukan itu kerana mencemar nama baiknya.

“Saya kekal tenang. Saya ada peguam yang tahu buat kerja dia. Emak saya pun sentiasa ada, termasuk keluarga saya juga sentiasa beri saya tenang, walaupun pelbagai pihak macam-macam cuba letak cerita itu, cerita ini.

“Jadi, untuk prosedur selanjutnya itu mana yang keluar cerita bukan-bukan, peguam saya akan mengambil tindakan sebab membabitkan nama baik.

“Benda pun tiada apa-apa pertuduhan. Baharu saja dituduh, belum lagi saya disabitkan apa-apa. Jadi, saya nasihatkan berhati-hati kepada semua pihak,” katanya selepas prosiding sebutan kes di Mahkamah Majistret Sepang, di sini, hari ini.

Menurut Along, setakat ini segala tindakannya terlebih dulu dirujuk kepada peguam, Zaleha Al-Hayat termasuk membuat sebarang hantaran di media sosial.

“Saya ada peguam. Apa yang saya nak bertindak, semua atas nasihat peguam. Saya nak buat hantaran apa, saya akan tanya peguam dulu, bukan suka-suka hati.

“Saya nak menjawab pun (soalan media) peguam saya yang akan ‘guide’,” katanya memberi penjelasan lanjut.

Mahkamah menetapkan tarikh 25 September depan untuk sebutan kes dan keputusan representasi.

Pada 7 April lalu, Along atau Muhammad Nizamuddin mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tiga pertuduhan berkaitan dadah dihadapinya.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1.49 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada jam 3.10 petang 14 Disember 2024 dan dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, dia juga didakwa ada dalam milikannya dadah berbahaya jenis sama seberat 49.61 gram di lokasi, masa dan tarikh sama dan dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum 39A(1) akta sama.

Bagi pertuduhan pindaan ketiga, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ ke dalam badan pada 10 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, pada tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang dibaca bersama Seksyen 38 B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top