Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah mengingatkan bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan politik di negeri itu susulan spekulasi mengenai usul undi tidak percaya terhadap kepimpinannya.
Kenyataan seperti sebuah provokasi
Memetik laporan daripada Berita Harian, Abu Bakar menyatakan, sebarang usaha membawa usul berkenaan bukan sahaja bertentangan dengan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, malah kenyataan berunsur provokasi berkaitan isu itu juga boleh mengundang implikasi undang-undang di bawah Akta Hasutan kerana menyentuh isu 3R melibatkan agama, kaum dan institusi diraja.
“Seluruh Malaysia, malah dunia, mengetahui titah Tuanku ketika Persidangan DUN Perlis yang lalu. Jika beliau berani mengemukakan usul itu, bermakna beliau melanggar titah Tuanku.
“Justeru, saya menasihati bekas Menteri Besar supaya tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menyemarakkan lagi keadaan,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan desas-desus yang mendakwa Mohd Shukri berhasrat membawa usul undi tidak percaya terhadap Abu Bakar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis akan datang.
Terdahulu, Mohd Shukri mencetuskan perhatian apabila memuat naik hantaran di Facebook berbunyi, “Pengkhianat tetap pengkhianat. Kami tetap tolak walau di mana mereka.”
Hantaran itu dimuat naik sehari selepas Abu Bakar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun turut memuat naik kenyataan yang dipercayai membawa mesej serupa apabila menulis, “Ular walau salin kulit tetap ular. Pengkhianatan tetap terpahat sebagai satu pengkhianatan walaupun di mana mereka berada!”
Perkembangan itu sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa usul undi tidak percaya terhadap Abu Bakar mungkin dibawa pada sidang DUN Perlis akan datang selepas ia tidak dikemukakan pada persidangan bulan lalu.
Sumber: Berita Harian (Noor Sara Mohamad Hanif)





