‘Jangan letak angka tontonan, keuntungan perniagaan atasi keberkatan berkarya’ – Menteri Agama

SHAH ALAM – Penggiat seni dan platform media diingatkan supaya tidak meletakkan angka tontonan dan keuntungan perniagaan mengatasi keberkatan dan syarat kelestarian iman dalam berkarya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, penyebaran klip babak terlampau di media sosial dikhuatiri membiasakan norma buruk dalam masyarakat.

Menurutnya, keadaan terbabit turut memberi kesan negatif kepada perkembangan emosi serta sahsiah remaja.

“Walaupun niat menyampaikan realiti difahami, cara penyampaian yang mengghairahkan serta dijadikan modal pemasaran berisiko menenggelamkan mesej pengajaran sebenar.

“Sehubungan itu, kami mendesak agensi berkaitan membuat penilaian semula secara menyeluruh, serta mengambil tindakan sekiranya terbukti melanggar garis panduan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, pihaknya menyeru seluruh warga industri kreatif untuk kembali menghayati acuan adab, etika dan Maqasid Syariah.

Beliau menasihatkan bahawa usaha mendidik masyarakat tentang kerosakan tidak seharusnya dilakukan dengan merosakkan pandangan penonton.

“Menerusi kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi berkaitan, semakan berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan Penyiaran Berunsur Islam (Jakim Bil. 4/2015) akan dipertingkatkan demi memelihara kesucian agama.

“Seni yang hebat ialah seni yang menyentuh jiwa tanpa melangkaui garis panduan Syarak,memandangkan setiap karya yang ditonton jutaan manusia pasti akan dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH SWT kelak,” tegasnya.

Scroll to Top