“Jangan Main Pilih Sebab Pengikut Ramai, Ada Rupa Tapi Tak Ada Bakat”

Sebelum ini mempersoalkan semakin ramai Instafamous kini bergelar pelakon, pelakon Izara Aishah berpendapat jumlah tontonan sesebuah karya itu bukan bergantung kepada pengikuti di laman sosial pelakon itu.

Ujarnya, pihak produksi perlu melakukan uji bakat terlebih dahulu untuk memilih pelakon, bukan hanya berdasarkan rupa dan pengikut ramai sahaja.

BACA: Izara Aishah Pelik Ramai Instafamous Jadi Pelakon

“Bagi saya, walaupun ramai followers, tidak semestinya membantu dari segi tontonan yang tinggi di TV. Kadang-kadang pengikut dia bukan pun tengok sangat. Boleh sahaja pilih sesiapa yang nak dijadikan pelakon tapi biarlah melalui uji bakat. Buat dengan cara yang betul.

“Uji bakat dahulu dan siapa betul-betul ada bakat dan lakonannya mantap serta mempunyai disiplin ambil la. Jangan main pilih sebab pengikut ramai dan ada rupa tapi tak ada bakat langsung,” katanya.

Dalam pada itu, Izara turut berharap sesiapa sahaja tak kira Instafamous yang ingin menjadi seorang pelakon menjaga disiplin dan lebih serius dalam bidang lakonan.

“Saya harap sesiapa nak jadi pelakon serius la dalam bidang lakonan, jaga disiplin dan buat betul-betul. Saya nak mereka bersungguh-sungguh sebab ada segelintir mereka hanya main-main sahaja.

“Untuk kami yang memang dalam dunia berlakon ini agak terasa sikit sebab kita bersungguh-sungguh kerja tapi ada di antara mereka ini tak seperti itu, rasa macam tak best la,” katanya.

Kata Izara turut memberi pesanan kepada pelakon baharu di luar sana untuk memasuki kelas lakonan agar sentiasa kekal dalam industri.