am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Datuk Aaron Aziz, 50, menyifatkan tindakan individu yang melemparkan komen mengenai perkara tidak senonoh terhadap diri dan keluarga di media sosial sebagai satu perbuatan melampaui batas.
Menurut Aaron atau pemilik nama Aaron Mustapha Aziz, proses mengesan individu di sebalik komen tersebut bukanlah satu perkara yang mudah memandangkan mereka menggunakan akaun palsu.
“Perkara itu dah jadi kes polis. Bukan senang nak kesan orang di media sosial, terutamanya apabila mereka menggunakan akaun palsu.
“Kami sudah sahkan akaun itu memang palsu. Susah juga nak cari tempat ‘pin point’ lokasi individu itu sebab dia tak gunakan identiti sebenar,” katanya ketika ditemui semasa sidang media pelancaran filem Black Ops, semalam.
Tegas pelakon filem Banduan ini, setiap pengguna media sosial perlu mempunyai had limitasi ketika menggunakan aplikasi media sosial.
“Kita kena ada had dan batas untuk komen di media sosial. Jangan keterlaluan. Selalunya kalau komen mengarut, saya akan padam dan sekat (block) sahaja. Tapi dalam hal ini, ia sudah melampau,” katanya kepada Harian Metro.
Meskipun sudah lali dengan kerenah netizen, Aaron mengakui dia tidak boleh berdiam diri apabila isu terbabit mula melibatkan keluarganya.
“Perasaan saya okay sahaja sebab ini bukan kali pertama saya baca komen begitu. Kita tak boleh paksa orang suka kita, mungkin individu itu ada ‘penyakit’ yang kita tak tahu.
“Tapi yang penting, kami semua dalam keadaan selamat. Kalau hanya membabitkan diri saya, saya boleh terima, tapi kalau keluarga ditarik sekali, saya kena pertahankan mereka,” katanya lagi.
Terdahulu, Aaron memuat naik tangkap layar akaun media sosial individu yang meninggalkan komen tidak senonoh terhadap diri dan keluarganya pada 24 Disember lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
