Bekas pegawai kanan Tentera Darat, dua isteri antara lima individu ditahan SPRM, direman esok

Bekas pegawai kanan Tentera Darat, dua isteri antara lima individu ditahan SPRM, direman esok

Kuala Lumpur: Bekas pegawai kanan Tentera Darat bersama dua isteri beliau ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait projek perolehan tender Tentera Darat Malaysia (TDM).

Turut ditahan sepasang suami isteri yang disyaki bersubahat melarikan RM2.4 juta.

Penangkapan itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Terdahulu, kenderaan membawa bekas pegawai kanan TDM dan isterinya itu memasuki pekarangan ibu pejabat SPRM jam 3 petang tadi.

“Sehingga 7 petang kita menahan (bekas) pegawai kanan Tentera Darat dan kedua-dua wanita yang juga isterinya. Yang ketiga semalam kita ada menahan seorang lelaki Melayu bersama isterinya disyaki bersubahat melarikan RM 2.4 juta”, kata Azam memetik laporan Buletin TV3.

SPRM akan memohon reman ke atas bekas pegawai kanan Tentera Darat dan dua isterinya esok.

Sebelum ini, SPRM memaklumkan, pegawai kanan TDM itu dikehendaki memberi keterangan pada 28 Disember tahun lalu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.

SPRM juga hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember tahun lalu, bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan TDM sejak 2023.

Pada 29 Disember tahun lalu pula, Azam berkata, pihaknya menyita enam akaun bank milik pegawai itu dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan.

Dua hari sebelum itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan Tan Sri Muhammad Hafizuddeain diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan kes yang dilaporkan terhadap beliau selesai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top