Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegur pihak tertentu supaya tidak mudah melabel sesuatu tindakan sebagai ‘derhaka’ atau ‘biadab’ sebelum memahami kedudukan institusi, Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Menurut laporan Harian Metro, Zahid berkata sebarang pertikaian yang melibatkan institusi Kesultanan dan pentadbiran negeri perlu dinilai berdasarkan kedudukan serta tanggungjawab setiap institusi terlebih dahulu, termasuk hak warganegara yang dijamin Perlembagaan.
Janganlah label derhaka dan biadab mendahului kefahaman tentang duduk perkara.
Tugas kepimpinan utama ialah menjernihkan kekusutan dengan ilmu dan kebijaksanaan sambil memelihara martabat institusi, bukan bercakap di atas kereta api dan membelasah tiada adab, tiada tamadun.
Zahid Hamidi tegaskan perlu hormati Institusi Diraja & Perlembagaan

Ahmad Zahid berkata demikian ketika merasmikan Musyawarah Nasional: Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, perbezaan politik tidak seharusnya menghakis adab terhadap institusi diraja.
Katanya, UMNO sentiasa menjunjung institusi Raja dan tertib Perlembagaan, termasuk menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Penghormatan kepada Perlembagaan mesti kekal waqi’ah (teguh) ketika sesuatu keputusan tidak menepati kehendak kita.
Inilah pegangan yang mesti kita wariskan iaitu teguh mempertahankan prinsip, adil menghormati hak, dan bijaksana mengurus perbezaan.
Kesedaran sejarah perlu dipupuk

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut menyentuh kepentingan generasi muda memahami sejarah tanah air.
Menurutnya, sejarah Tanah Melayu tidak bermula dengan kedatangan penjajah, sebaliknya telah terbina lebih awal termasuk melalui perkembangan Kedah Tua, Lembah Bujang dan Sungai Batu.
Sebab itu penting untuk kita memupuk ‘historical consciousness’ atau kesedaran sejarah dalam jiwa generasi muda Malaysia.
Tanpa kesedaran sejarah ini, kita mudah membaca masa lalu seolah-olah segala-galanya bermula dengan penjajah, sedangkan penjajah datang ke tanah yang sudah mempunyai sejarah, bukannya ke tanah yang baru mendapat sejarah.
Beliau pada masa sama menegaskan sejarah masyarakat Melayu tidak seharusnya digunakan untuk memadamkan sejarah masyarakat lain, termasuk warisan masyarakat Orang Asli di Semenanjung.
Kita mesti cukup yakin untuk mempertahankan sejarah sendiri, dan cukup jujur untuk mengiktiraf sejarah orang lain.
Nota Oh! Media:
Perbezaan pandangan, terutama membabitkan institusi dan Perlembagaan, perlu difahami berdasarkan fakta, undang-undang serta kedudukan setiap pihak. Elakkan membuat kesimpulan atau melabel seseorang sebelum benar-benar memahami isu yang berlaku.
Sumber: Harian Metro
Ikuti Perbincangan: Whatsapp, Facebook, Threads dan Instagram.
The post “Jangan Mudah Label Derhaka & Biadab” – Zahid Hamidi Minta Faham Perlembagaan Dahulu appeared first on Oh! Media.




