Jangan takut tukar jurulatih

Jangan takut tukar jurulatih

zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menganggap semua pihak tidak perlu takut untuk menukar jurulatih demi kebaikan pasukan kebangsaan.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menjelaskan langkah sama dilakukannya ketika memecat Nelo Vingada sebagai pengendali Harimau Malaya selain sembilan kali menukar jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT).

Beliau bagaimanapun menjelaskan penukaran jurulatih haruslah mengikut perancangan yang betul dan selari dengan visi yang jelas untuk meningkatkan prestasi pasukan.

“Saya tidak ada 100 peratus fokus untuk pasukan kebangsaan (ketika itu) kerana saya tengah betulkan sistem (FAM) yang ada termasuk dengan hutang dan kes-kes lama.

“Apabila benda itu sudah selesai baru saya fokus untuk pasukan kebangsaan, tapi dengan kadar segera untuk ambil jurulatih pada masa itu, Bojan Hodak mengesyorkan saya Nelo Vingada dan saya ambil Nelo Vingada dulu.

“Tapi selepas saya nampak ada benda yang tak kena, kita ketepikan Nelo Vingada, ambil Tan Cheng Hoe dan Alhamdulillah Cheng Hoe menjalankan tugas dengan baik, ada keputusan tapi akhir-akhir ini tak ada keputusan yang baik.

“Apabila benda seperti itu berlaku, tukar. Jurulatih dalam JDT saya sudah tukar sembilan kali. Jadi jangan takut nak tukar apa-apa, yang penting perancangan itu kena jelas, visi dan polisi kena jelas.

“Ramai yang cakap sayalah punca kerana saya pilih Nelo Vingada, selepas saya membuat silap dengar cadangan Bojan Hodak. Saya terus ambil tanggungjawab, saya pecat Nelo Vingada dan gantikan dengan Cheng Hoe. Itu yang saya katakan semua orang buat silap tapi kita kena ada sikap bertanggungjawab,” kata Tunku Ismail menerusi satu temuramah bersama stesen televisyen swasta, kelmarin.

FAM sebelum ini mengumumkan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon sebagai pengendali baharu Harimau Malaya bagi menggantikan Cheng Hoe yang meletakkan jawatan susulan kegagalan pasukan negara di Piala AFF 2020, bulan lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top