Jangan tunggu banjir! Calon SPM disaran masuk asrama lebih awal

Jangan tunggu banjir! Calon SPM disaran masuk asrama lebih awal

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menetap di kawasan berisiko banjir disaran memanfaatkan tawaran penginapan sementara di asrama lebih awal supaya persediaan peperiksaan mereka tidak terjejas.

Jangan tunggu banjir! Calon SPM disaran masuk asrama lebih awal

Foto: Berita Harian

Memetik laporan Buletin TV3, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, penempatan awal dapat mengurangkan risiko calon terkandas apabila jalan dinaiki air, selain membantu mereka menumpukan perhatian kepada peperiksaan.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengenal pasti kawasan yang kerap dilanda banjir serta laluan yang berpotensi terputus sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

“Saya nasihatkan calon ambil peluang ini duduk di asrama disediakan, kita tidak mahu apabila banjir berlaku, baru hendak mengambil tindakan.
“Kawasan kampung lazim dinaiki air atau jalan sering terputus hubungan ketika musim tengkujuh memang kita sudah kenal pasti,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Azam berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) turut diarahkan menggunakan data kawasan berisiko di negeri masing-masing untuk menyusun pergerakan calon lebih awal ke sekolah berasrama berhampiran pusat peperiksaan.

“Jadi, kita akan ambil pelajar lebih awal dan tempatkan mereka di asrama sekolah mempunyai kemudahan berkenaan supaya lebih mudah serta tidak mengganggu persediaan mereka menduduki peperiksaan,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, penempatan sementara itu dilaksanakan mengikut pilihan ibu bapa dan calon, dengan kos makanan sepanjang penginapan ditanggung KPM.

Sesi libat urus bersama ibu bapa, penjaga serta calon juga sudah diadakan bagi menjelaskan keperluan dan pilihan yang tersedia sebelum pemindahan dibuat.

Bagi calon yang memilih untuk terus tinggal di rumah, bantuan perjalanan ke pusat peperiksaan disediakan melalui Operasi Payung dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi berkaitan.

“Agensi terbabit akan membantu pergerakan calon ke pusat peperiksaan sekiranya berlaku banjir.
“Bagaimanapun, kaedah itu lebih mencabar berbanding menempatkan calon di asrama lebih awal kerana kita mahu mereka tidak terganggu dan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa, penjaga dan calon mempertimbangkan penempatan awal tersebut sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir sepanjang peperiksaan.

Seramai 420,879 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 26 Oktober hingga 17 Disember, melibatkan 3,334 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, MTL 2026/2027 dijangka berterusan sehingga Mac 2027.

Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan antara negeri yang berisiko mengalami banjir sepanjang tempoh berkenaan.

Sumber: Buletin TV3 (Noor Atiqah Sulaiman)

Scroll to Top