Kerajaan terus memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan siber negara susulan ancaman yang semakin kompleks dan canggih, termasuk serangan yang berpotensi menyasarkan sektor perbankan serta institusi penting negara.
Pendekatan proaktif perlu diberi keutamaan
Memetik laporan daripada Bernama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendekatan proaktif perlu diberi keutamaan bagi memastikan negara mempunyai keupayaan menjangka dan mencegah serangan sebelum ia berlaku.
“Kita mesti bina kekuatan untuk menjangka serangan. Jangan tunggu reaktif. Kita perlu bersedia untuk menjangkakannya terlebih dahulu,” kata Anwar ketika menjadi moderator Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 14 di Kuala Lumpur, malam tadi.
Foto: PMO
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Ancaman siber tak kira negara
Menurut Anwar, ancaman siber bukan sahaja membabitkan negara membangun, malah negara maju di Eropah yang mempunyai infrastruktur keselamatan dan ekonomi canggih turut berdepan serangan serius.
Sehubungan itu, beliau menyatakan kerajaan sudah mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meneliti kepakaran serta keupayaan sedia ada dalam menghadapi ancaman berkenaan.
Foto: PMO
Persediaan rapi sangat penting
Selain itu, taklimat terperinci turut diberikan kepada Ahli Parlimen, manakala Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengadakan pertemuan bersama ketua setiausaha kementerian, ketua pengarah dan pegawai kanan bagi menyelaraskan persediaan menghadapi sebarang kemungkinan pencerobohan siber.
Anwar turut menegaskan bahawa persediaan rapi amat penting kerana serangan siber boleh berlaku menerusi pelbagai kaedah dan tidak semuanya dapat dikesan pada peringkat awal.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Forum Ilmuwan Malaysia MADANI menjadi platform untuk menghimpunkan pandangan, kritikan dan cadangan daripada pelbagai pihak bagi membantu kerajaan menilai serta menambah baik dasar negara.
“Forum ini kita adakan secara santai, tidak formal. Saya mendengar pandangan daripada rakan-rakan, kemudian kita rumuskan dan bawa perkara yang perlu ke Jemaah Menteri,” kata beliau.
Tambahnya, pandangan daripada golongan akademik, penyelidik dan pemain industri perlu diterjemahkan kepada tindakan supaya kelemahan dalam dasar sedia ada dapat dikenal pasti serta ditambah baik demi kepentingan rakyat.
Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 14 kali ini membincangkan isu daya tahan sektor pertanian dan keterjaminan makanan yang turut menjadi elemen penting dalam memastikan keselamatan serta ketahanan ekonomi negara.
Sumber: Bernama




