Jangkitan kutu akibatkan kucing stres

Jangkitan kutu akibatkan kucing stres

KUTU bukan sekadar menghuni badan kucing mahupun permaidani, sofa dan tilam di rumah anda.

Sebaliknya, serangga parasit itu juga boleh hidup di tempat makan dan bermain si comel.

Pemilik Mozicat – Cat Hotel, Grooming & Accessories, Mohd. Zikrullah Osman berkata, lokasi itu juga perlu sentiasa diberi perhatian serta dibersihkan oleh pemilik kucing bagi mengelak pembiakan kutu.

Katanya, ada segelintir yang terlepas pandang kawasan berisiko itu sekali gus menyebabkan kutu pada haiwan peliharaan terus melarat ibarat tiada kesudahan.

“Kutu boleh hidup selama satu ke dua minggu di tempat lepak kucing walaupun tanpa ada hos, dan akhirnya serangga itu mula menggigit manusia pula,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Mohd. Zikrullah Osman memegang kucing sihat tanpa ancaman kutu.

Mohd. Zikrullah berkata, jangkitan kutu memberi kesan buruk kepada kucing hingga ada yang stres dan kurus akibat kurang selera makan.

Malah, katanya, situasi itu turut mengundang risiko penyakit lain akibat luka kerana kerap menggaru. Malah jangkitan turut meningkatkan risiko masalah kulat.

Menurutnya, si comel juga boleh dijangkiti kutu apabila berkeliaran dengan kucing-kucing jalanan.

“Pemilik haiwan perlu segera memberikan ubat kutu selama tiga bulan berturut-turut bagi mematikan serangga berkenaan dan kitaran hidup telur.

“Di samping itu, mandian kutu di pusat grooming juga boleh membantu menangani isu jangkitan kutu pada kucing,” katanya.

Menurut Mohd. Zikrullah, jika keadaan terlalu teruk, maka pihak pendandan akan menyarankan kaedah potongan lioncut atau membuang bulu-bulu pada kucing.

KUTU KUCING BOLEH ANCAM MANUSIA?

Kutu kucing boleh mengakibatkan kegatalan melampau pada manusia dengan kulit menjadi kemerahan dan membengkak.

Gejalanya masih di tahap ringan, namun perbuatan menggaru-garu kawasan yang gatal dikhuatiri mengundang luka dan melecet.

Redakan kegatalan:

* Tuam dengan air sejuk – kulit yang gatal biasanya akan membengkak. Gunakan sapu tangan yang dicelup dengan air sejuk dan tuam pada kawasan terjejas selama beberapa saat.

* Pakai losyen dan krim.

* Mandi dengan air panas.

* Gunakan sabun bersesuaian.

* Jika tidak ditangani segera, kutu kucing akan menyerang manusia hingga menyebabkan seseorang tidak selesa akibat kegatalan dialami.

FAKTA KUTU

* Serangga kecil berwarna coklat kemerahan gelap, tidak bersayap dengan tiga pasang kaki.

* Sukar dikesan kerana pergerakan yang pantas.

* Tidak boleh hidup pada badan manusia, tetapi boleh menyerang melalui gigitan kecil.

* Kutu menghisap darah kucing secara terus-menerus.

JENIS KUTU

* Kutu pada telinga: Hidup di dalam telinga kucing. Untuk menghapuskannya, titiskan racun (ubat khas) dalam lubang telinga kucing.

* Kutu hama: Saiznya lebih kecil dan sukar untuk dilihat.