Rumah, kedai makan dihempap pokok tumbang akibat ribut

Rumah, kedai makan dihempap pokok tumbang akibat ribut

BAGAN SERAI: Rumah seorang penduduk Jalan Baru, Alor Pongsu di sini rosak teruk dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut petang tadi.

Penduduk tersebut, Anis Suraya Aziz, 29, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah adiknya yang terletak kira-kira 10 meter dari rumahnya itu.

Katanya, sebelum itu, hujan lebat dan angin kencang dan dia tidak menyangka pokok berhampiran rumahnya tumbang akibat ribut.

“Ketika kejadian, saya berada di rumah adik untuk bersiap-siap menghantar mi rebus untuk dijual di bazar Ramadan.

“Sebaik sahaja keluar dari rumah adik, saya dapati pokok di tepi rumah saya tumbang dan menghempap rumah sertai kedai makan yang saya usahakan.

“Saya tergamam apabila melihat keadaan rumah dan kedai saya musnah namun saya bersyukur kerana ketika kejadian saya bersama dua anak saya tidak berada di rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, dia hilang kata-kata apabila melihat segalanya musnah dalam sekelip mata.

Katanya, anggaran kerugian yang dialami hampir RM40,000 dan tidak tahu untuk memperbaiki semula kedai dan rumah mereka sekeluarga.

“Kedai makan ini merupakan tempat saya mencari rezeki, membantu menambah pendapatan kami sekeluarga,” katanya. – UTUSAN