Janji Persembahan Luar Biasa, Samsons Gegar Malaysia Pada 9 November Ini!

Janji Persembahan Luar Biasa, Samsons Gegar Malaysia Pada 9 November Ini!

Band popular Indonesia, Samsons, bakal menemui peminat Malaysia menerusi konsert istimewa Samsons Live in Malaysia – Kenangan Terindah yang akan berlangsung pada 9 November 2025 di IDEA Live Arena, Damansara 3, Petaling Jaya.

Konsert anjuran Orlaith Inc ini dijanjikan tampil berbeza dengan sentuhan kreatif yang diinspirasikan oleh lima elemen utama: angin, bumi, api, air dan logam, serta ditambah dengan satu elemen istimewa iaitu kasih sayang dan perpaduan. Kesemua elemen ini bakal digarap ke dalam muzik, visual dan emosi untuk mencipta sebuah pengalaman imersif yang belum pernah dipersembahkan sebelum ini.

Konsep tersebut melambangkan perjalanan Samsons sepanjang menghasilkan lima album berjaya dan kini melangkah ke bab keenam, sebuah fasa baharu yang meraikan semangat, kebersamaan dan keterikatan.

Bagi peminat, karya Samsons sering dianggap sebagai emosi yang diterjemah dalam bentuk muzik, seperti surat cinta yang tidak pernah dihantar, kata-kata kasih yang tidak terucap, serta memori yang kekal di hati. Lagu-lagu mereka telah menjadi latar kisah cinta, kerinduan, pengorbanan, serta naluri untuk menyayangi dan disayangi bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh ASEAN dan rantau lain.

Seiring dengan perjalanan baharu ini, Samsons turut merancang melancarkan sebuah inisiatif interaktif di Instagram. Peminat Malaysia akan dijemput untuk berkongsi kata-kata dan perasaan yang berpotensi menginspirasikan lagu baharu bertemakan kasih sayang dan perpaduan. Lagu tersebut bakal menjadi simbol gerakan baharu yang dicipta bukan hanya oleh Samsons, tetapi juga bersama peminat setia mereka.

“Muzik Samsons sejak dahulu lagi membawa emosi yang sukar diungkap dengan kata-kata. Konsert ini bukan sahaja dirancang untuk meraikan lagu-lagu hits mereka, malah sebagai permulaan kepada sesuatu yang baharu, sebuah gerakan kasih sayang dan perpaduan yang dikongsi bersama peminat,” kata Azam Ismail Bakri, Pengarah Urusan Orlaith Inc, penganjur konsert ini.

Dengan jangkaan sambutan yang luar biasa, Samsons Live in Malaysia – Kenangan Terindah diyakini akan menjadi antara konsert paling beremosi dan tidak harus dilepaskan oleh para peminat.

Konsert Samsons Live in Malaysia – Kenangan Terindah bakal berlangsung pada 9 November 2025 di IDEA Live Arena, Damansara 3, Petaling Jaya. Acara yang dianjurkan oleh Orlaith Inc ini pastinya menjadi medan pertemuan istimewa buat peminat muzik Samsons yang telah mengikuti perjalanan seni mereka sejak dua dekad lalu.

Tiket bagi menyaksikan konsert penuh emosi dan kenangan ini boleh didapati menerusi dua platform rasmi iaitu www.ticket2u.com.my dan www.fantopia.io

Scroll to Top