Jaqlyn jadi taruhan

Jaqlyn jadi taruhan

Awakening Music berjaya menandatangani artis wanita pertamanya iaitu penyanyi dan penulis lagu dari Austria, Jaqlyn, 23.

Dilahirkan di Graz, Austria, Jaqlyn membawa warisan budaya yang pelbagai, berdarah Austria dari sebelah ayah dan Georgia dari sebelah ibu tampil bersama single terbaharu berjudul This Is Who I Am.

Sejak kecil, muzik menjadi perkara penting dalam hidupnya. Diinspirasikan oleh ibu dan neneknya, Jaqlyn sering menyanyi lagu balada daripada ikon vokal seperti Celine Dion dan Lara Fabian, membina suara yang kini memikat jutaan pendengar.

Minatnya terhadap persembahan membawanya dari bidang lakonan dan sukan kepada tumpuan sepenuhnya dalam muzik.

Pada September tahun, Jaqlyn mencapai kejayaan besar di rancangan The Voice of Germany, di mana persembahan lagu Nothing’s Gonna Change My Love for You oleh George Benson menerima pujian sebulat suara daripada keempat-empat juri selebriti.

Persembahan itu berjaya menarik perhatian lebih empat juta tontonan di YouTube sekali gus meneguhkan kedudukannya sebagai suara baharu yang luar biasa.

Pada Januari 2023, Jaqlyn memeluk Islam, satu keputusan yang disifatkannya sebagai transformasi peribadi dan artistik.

Keimanannya kini memainkan peranan utama dalam kreatifnya.

“Memakai hijab tidak menghalang saya daripada menjadi berani atau kreatif. Malah ia memberi kekuatan untuk saya menjadi pemimpin dan pengaruh positif,” kongsinya.

Jaqlyn memulakan perjalanan profesionalnya selepas menandatangani kontrak dengan Awakening Music.

Single sulungnya This Is Who I Am ditulis bersama oleh artis multi-platinum Awakening, Maher Zain, bersama pasukan kreatif yang terkenal di peringkat antarabangsa.

Lagu puisi yang kuat mengenai identiti, keimanan dan penerimaan diri.

Jaqlyn membawa pendengar dalam perjalanan ketabahan, merangkul cabaran dan kejayaan yang membentuk dirinya.

Korus lagu ini menyampaikan deklarasi yang berani dan tidak dapat dilupakan mengenai kebanggaan dan keaslian.

Mengenai pengalaman merakamkan single pertama itu pula, Jaqlyn memberitahu naskhah berkenaan cukup memberikan kesan emosi dan menyentuh jiwa.

“Saya rasa bertuah dapat berkongsi keimanan dan nilai-nilai saya melalui muzik, dan saya berharap lagu ini memberi kekuatan kepada orang lain untuk menerima diri mereka yang sebenar.” ujarnya.

Lagu ini jelas mempamerkan keupayaan vokal Jaqlyn yang dinamik dan kedalaman emosi. Selain menggabungkan kelembutan, kekuatan serta menawarkan perspektif baharu yang memberi inspirasi dalam muzik kontemporari berunsur keimanan.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Awakening Music, Bara Kherigi, berkata pihaknya gembira menerima kehadiran penyanyi itu dalam keluarga Awakening Music.

Katanya, penampilannya jelas menunjukkan mesej kesenian, meraikan kreativiti, kekuatan dan perwakilan wanita dalam muzik Islam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top