
Pemain PDRM FC Mohd Safiee Ahmad (dua, kanan) cuba mendapatkan bola daripada pemain Kuala Lumpur FC Sean Gan Gianneli (kanan) pada Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Khamis. – Foto Bernama.
JARINGAN dua pemain import masing-masing oleh Marcus Macauley dan Fadi Awad, membantu PDRM FC menumpaskan Kuala Lumpur City (KL City) FC 2-0, pada saingan Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, dekat sini pada Khamis.
Skuad warga kota yang menguasai babak pertama melaungkan amaran awal dengan rembatan deras penyerang dari Ivory Coast Tchetche Kipre, namun telah dinafikan penjaga gol tuan rumah Mohamad Ramdhan Ab Hamid, pada minit ke-21.
Kipre kemudian memperoleh peluang keemasan membuka tirai jaringan KL City, namun sekali lagi dinafikan Mohamad Ramdhan yang tangkas menyelamatkan tandukan pada minit ke-37, manakala percubaan ketua pasukannya Paulo Josue pula hanya menggegar tiang kanan gol, di penghujung babak pertama.
Sebaik babak kedua bersambung, Mohamad Ramdhan sekali lagi bertindak cemerlang dengan menggunakan kakinya, bagi menafikan percubaan Kipre pada minit ke-46.


