am@hmetro.com.my
Kota Bharu: “Saya gembira menjalani ibadah puasa, menikmati waktu berbuka dan bersahur selain menunaikan solat tarawih bersama suami dan keluarga mentua yang sangat baik,” luah Hana Hyliaanah Jopius Abdullah, 27, yang memeluk agama Islam sejak lebih setahun lalu.
Hana berkata, Ramadan adalah bulan untuk dirinya mendalami Islam dengan lebih baik, selain mengajarnya cara untuk bersabar serta melatih diri untuk menahan lapar dan dahaga.
Menurutnya, ini adalah tahun kedua dia berpuasa dan mengakui banyak menghabiskan masa dengan menghadiri program keagamaan bersama mualaf seluruh Kelantan termasuk membantunya membaca al-Quran.
“Sebenarnya, saya sudah biasa berpuasa ketika berada di universiti kerana mempunyai ramai kawan beragama Islam, jadi tidak sukar untuk saya menjalaninya selepas bergelar mualaf.
“Bagi saya apa yang lebih mencabar adalah untuk menjaga solat lima waktu kerana sedar ia adalah tiang agama yang wajib dijaga dengan sempurna. Begitu juga dari aspek pemakaian yang menepati konsep menutup aurat yang sebenar.
“Alhamdulillah, suami Mohamad Ismail Nuh Yaacob, 26, banyak membantu dan memberi tunjuk ajar tentang ilmu agama, malah menjadi rujukan saya,” katanya.
Hana berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri dan Berbuka Puasa Bersama Saudara Bharu di Masjid Muhammadi, di sini, semalam.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Animasi (Kepujian) Produksi 2D Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Puncak Perdana itu berkata, dia bersyukur kerana detik memeluk Islam berjalan lancar dan mendapat sokongan ibu bapa serta keluarga yang beragama Kristian.
Menurutnya, sebaik melafazkan syahadah dia merasakan ketenangan luar biasa di mana segala masalah yang ditanggung seperti hilang begitu sahaja.
“Sejujurnya, saya mula ‘jatuh cinta’ pada Islam sejak di bangku sekolah rendah lagi memandangkan berkawan baik dengan kawan muslim yang bernama ‘Aisyah’ pada ketika itu.
“Saya sering mengikutinya ke surau, melihat dan mendengar dia membaca al-Quran dan tanpa sedar saya juga mengikuti sekali dan boleh mengingati beberapa surah pendek.
“Memeluk agama Islam adalah pilihan atas kerelaan sendiri. Alhamdulillah, saya juga dipertemukan jodoh dan bernikah dengan suami pada Februari tahun lalu sebaik saya bergelar wanita muslim,” katanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.
Katanya, keluarga mempertikai tindakannya memeluk agama Islam, namun dia berjaya menerangkan dengan baik dan kini mereka dapat menerimanya dengan hati terbuka.
© New Straits Times Press (M) Bhd


