JAWI benarkan ibadah korban secara bersyarat

yusri.muzamir@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membenarkan pelaksanaan ibadah korban di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan secara bersyarat.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata ia susulan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan ibadah korban di Wilayah Persekutuan bagi tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, proses penyembelihan haiwan korban serta kerja melapah, pemotongan dan pembungkusan daging hanya dibenarkan dilaksanakan di lokasi ditetapkan.

“Lokasi berkenaan ialah Rumah Sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta dilesenkan JPV, mengikut penyelarasan JAWI melalui Pejabat Pentadbiran Zon.

“Pengagihan dibuat secara terus kepada peserta, fakir miskin berdasarkan senarai nama ditetapkan, petugas barisan hadapan dan golongan sasaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Ajib berkata, pelaksanaan ibadah korban di kawasan lapang, selain masjid dan surau di Wilayah Persekutuan juga dibenarkan dengan kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT), JPV, JAWI dan pejabat kesihatan daerah (PKD).

“Had kapasiti sembelihan korban tidak melebihi lima ekor sehari dan bilangan kehadiran termasuk petugas tidak melebihi 12 orang.

“Semua kebenaran ini tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan demi memastikan ibadah korban dapat dihayati dan kemaslahatan semua pihak sentiasa terpelihara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd