KUALA NERUS: Johor Darul Ta’zim (JDT) berada di landasan yang baik untuk meneruskan momentum kemenangan dalam aksi Liga Super selepas meraih kemenangan keenam membenam Terengganu FC (TFC) 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini malam tadi.
Ketua Jurulatihnya, Xisco Munoz berkata, kemenangan ke atas pasukan Pantai Timur itu dan belum dibolosi dalam saingan berkenaan memperlihatkan skuad Harimau Selatan mampu mengekalkan konsistensi permainan serta disiplin pasukan.
Katanya, ia memberi petanda positif terutama dalam usaha membina keyakinan pemain JDT menjelang perlawanan seterusnya.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Masih ada aspek yang boleh diperbaiki tetapi saya melihat pasukan berada di landasan yang baik dan kini mula membuat persiapan untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Kemenangan itu membolehkan JDT mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super dengan mengumpul 18 mata maksimum untuk berada di puncak.
Keputusan itu juga menyaksikan JDT merekodkan 28 jaringan dan tanpa bolos dalam saingan Liga Super setakat ini.
TFC pula bergelut di kelompok empat terbawah dengan hanya mampu mengumpul lima mata daripada lima perlawanan.
Sementara itu, pengendali TFC, Nafuzi Zain menyifatkan barisan pemainnya mempamerkan karakter yang diinginkan dalam perlawanan itu meskipun terpaksa akur dengan kemenangan pasukan pelawat.
Katanya, skuad Sang Penyu tidak beraksi buruk sebaliknya menunjukkan komitmen dan kerja keras walaupun beberapa tonggak utama tidak dapat diturunkan.
“Bagi saya, persembahan mereka boleh diterima dari segi komitmen dan kerja keras. Walaupun ada pemain utama tidak dapat beraksi, pemain yang diturunkan masih mampu mempamerkan karakter yang kita inginkan,” katanya. – UTUSAN




