JDT jumpa pendatang baharu, 'Derby Borneo' hangatkan aksi Piala FA

JDT jumpa pendatang baharu, 'Derby Borneo' hangatkan aksi Piala FA

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Saingan Piala FA musim 2025/26 bakal menyajikan aksi menarik selepas keputusan undian pusingan 16 pasukan terbaik diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), sebentar tadi.

Tumpuan pastinya terarah kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang diundi menentang pendatang baharu Liga A1 Semi-Pro, UM-Damansara United iaitu satu pertemuan yang dilihat sudah memihak kepada pasukan Harimau Selatan, namun tetap menjanjikan kejutan.

Turut mencuri perhatian ialah pertemuan tetangga Borneo yang menemukan pasukan berpengkalan di Brunei iaitu DPMM FC menentang Kuching City FC dalam apa yang dijangka menjadi ‘derby panas’.

Imigresen FC yang baharu dinaikkan ke Liga Super pula bakal diuji pengalaman juara Piala Malaysia 2001, Terengganu FC (TFC), sekali gus menjadi medan pengukur kekuatan sebenar pasukan itu.

Negeri Sembilan FC (NSFC) pula diundi bertemu PDRM FC yang kini tampil lebih segar dengan beberapa muka import dan strategi permainan lebih dinamik musim ini.

Di Sabah, skuad Badak akan menyahut cabaran Bunga Raya FC dalam satu pertemuan yang dilihat seimbang berdasarkan prestasi semasa kedua-dua pasukan dalam liga masing-masing.

Penang FC pula perlu berwaspada apabila bertemu juara Liga A1 Semi-Pro musim lalu, Melaka FC yang dilihat mampu melakukan kejutan berdasarkan barisan muda berpotensi tinggi yang dimiliki.

Sementara itu, Selangor FC dijadual melayan kunjungan Malaysian University FT (MUFT) dalam satu aksi yang dijangka memberi ruang kepada jurulatih untuk melakukan penggiliran pemain.

KL City FC tidak boleh memandang rendah cabaran daripada Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW FC) yang kini hadir dengan identiti baharu dan tekad memburu nama semula di pentas utama.

Untuk rekod, musim lalu menyaksikan JDT merangkul trofi Piala FA selepas membelasah Selangor FC 6-1 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus menambah koleksi kejuaraan mereka di pentas domestik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top