JDT pertama guna padang rumput jenis hibrid di Malaysia

JDT pertama guna padang rumput jenis hibrid di Malaysia

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) kini dalam proses menaik taraf padang yang digunakan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin dengan menggunakan rumput jenis hibrid.

Pemilik kelab itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah melawat stadium berkenaan untuk memeriksa kerja-kerja pemasangan padang itu yang akan menjadi satu-satu yang seumpamanya dalam bola sepak di Malaysia.

Ia merupakan teknologi moden yang pada masa ini digunakan di Eropah.

Menurut kenyataan rasmi Facebook Johor Southern Tigers, padang hibrid di Larkin itu merupakan campuran rumput tiruan dan empat jenis benih rumput yang diberi nama ‘JDT Blend’.

“Selepas menganalisa hasilnya, rumput tersebut akan dipasang di kesemua kemudahan fasiliti JDT yang lain termasuk Stadium Sultan Ibrahim,” kata kenyataan itu

Ketika ini, beberapa buah stadium di Asia juga sudah mula beralih daripada menggunakan rumput asli kepada rumput hibrid iaitu satu teknologi baharu yang sudah mula mendapat perhatian di seluruh dunia.

Padang jenis hibrid gabungan penggunaan rumput asli dan juga rumput sintetik pada kadar ratio yang sama untuk memaksimakan kelebihan masing-masing.

Rumput jenis itu juga dikenali dengan banyak nama seperti Xtragrass atau pun Reinforce Natural Grass dan telah banyak digunakan di negara-negara Eropah.

Untuk melihat lebih jelas bagaimana struktur Hybrid Grass ini ditanam dengan merujuk gambaran keratan rentas struktur padang di bawah,  rumput asli ditanam secara berselang-seli dengan rumput sintetik.

Apabila rumput asli telah matang, akarnya akan terus berkembang dan memegang struktur rumput sintetik yang ditanam pada kedalaman sekitar 20cm dari paras tanah. Jarak diantara rumput sintetik pula dianggarkan sekitar dua sentimeter setiap satu.

Di samping dapat mengelakkan lagi rumput asli tercabut dengan mudah ia juga mampu untuk mencengkam tanah lebih kuat serta menghalang tanah dari tercabut dan merosakkan permukaan padang.

Walaupun mungkin kos pemasangan yang terlibat agak mahal tetapi ia memiliki ketahanan tinggi serta menjimatkan kos penyelenggaraan dalam jangka masa panjang. – MalaysiaGazette