sukan@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak terlalu yakin apabila berdepan Port FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, petang esok.
Insa menegaskan JDT akan menentang pasukan hebat dari Thailand dan barisan pemain pasukan itu bersifat pejuang yang akan bertarung dari awal hingga akhir permainan.
Justeru, katanya, pemain Harimau Selatan tidak boleh leka walaupun sesaat untuk melakar keputusan positif.
“Saingan ACLE amat istimewa bagi JDT kerana setiap tahun kami harus beri yang terbaik.
“Selepas mara ke suku akhir musim lalu, sudah tentu musim ini kami mahu mara lebih jauh dan akan berjuang sebaik aksi bermula.
“Saya pernah menentang Port FC pada aksi persahabatan ketika 2018 dan 2024, apa yang boleh saya katakan pasukan itu lebih mantap selepas membawa masuk beberapa pemain terbaik dan kini berada di tangga teratas Liga 1 Thailand.
“Kami harus terus bekerja keras dan tidak boleh selesa dan paling utama, pemain JDT perlu kekal merendah diri dan mengikut perancangan taktikal jurulatih (Xisco Munoz) serta terus mengekalkan mentaliti mahu menang,” katanya
Sementara itu, pengendali JDT, Xisco Munoz menyifatkan Port FC menunjukkan perkembangan sukar dijangka kerana pasukan itu beraksi di pentas ACL2 pada musim lalu dan kini di ACLE.
Katanya, sudah pasti skuad dibimbing Bozidar Bandovic itu memiliki kualiti tersendiri, apatah lagi saingan di peringkat Asia sentiasa menjanjikan cabaran berbeza.
“Walaupun Port FC tewas kepada Vissel Kobe dan Kashiwa Reysol dalam aksi terdahulu, ia tidak menggambarkan kekuatan sebenar mereka kerana menentang kelab ternama dari Jepun.
“Kami mempunyai pelbagai cara untuk membentuk struktur permainan efektif dan dijangka Port FC akan beraksi secara bertahan (low block), tapi intensiti permainan boleh berubah sekiranya kami menjaringkan gol,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




