lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang pengguna media sosial menerbitkan permohonan maaf kepada usahawan fesyen, Christy Ng dalam dua akhbar, dalam tempoh empat hari bekerja.
Hakim Arziah Mohamed Apandi membuat perintah itu ketika mendengar permohonan komital oleh Christy selaku plaintif terhadap defendan, J Vikneshvra Rau, 36, yang didakwa gagal mematuhi perintah mahkamah sebelum ini.
Pada 13 Februari lalu, mahkamah membenarkan saman sivil difailkan Christy dan memerintahkan Vikneshvra menerbitkan permohonan maaf terbuka tanpa syarat sepanjang satu muka surat penuh dalam akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris yang dipilih Christy.
Saman itu berkaitan kenyataan yang didakwa memfitnah Christy dan diterbitkan Vikneshvra menerusi akaun Threads miliknya.
Pada 25 Jun lalu, Mahkamah Tinggi menganugerahkan ganti rugi RM180,000 kepada Christy.
Dalam prosiding hari ini, Vikneshvra berkata. dia bersedia mematuhi perintah mahkamah, namun berdepan masalah kewangan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Saya cuma ada RM50 dalam kad Touch ‘n Go, malah bayaran pinjaman rumah dan kereta saya tertunggak selama empat bulan.
“Jika saya tidak membuat bayaran bulan ini, pihak bank boleh melelong rumah saya,” katanya ketika memberi keterangan di kandang saksi.
Ketika ditanya mengenai pendapatannya, Vikneshvra berkata dia masih menawarkan perkhidmatan penulisan resume dengan bayaran antara RM150 hingga RM300.
Katanya, pendapatan itu hanya cukup untuk membayar bil dan membeli makanan bagi menampung keperluan hariannya.
Dia turut memaklumkan jualan terakhir yang direkodkan atas namanya adalah pada 13 Oktober lalu dan sejak itu, dia tidak memperoleh sebarang pendapatan.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan dia tidak mempunyai wang untuk membayar kos penerbitan permohonan maaf di akhbar.
Sementara itu, peguam Christy, Foong Cheng Leong, berhujah bahawa Vikneshvra mengingkari perintah mahkamah apabila gagal mematuhinya dan didakwa masih membuat hantaran di media sosial yang mengejek anak guamnya serta mengandungi kenyataan palsu.
Beliau berkata, Vikneshvra sebelum ini bersetuju membayar RM1,000 sebulan, namun tidak membuat sebarang bayaran.
Foong turut memaklumkan defendan tidak memfailkan afidavit bagi menyokong dakwaannya mengenai masalah kewangan yang dihadapi.
Selepas mendengar penjelasan kedua-dua pihak, Hakim Arziah berkata, walaupun Vikneshvra tidak memfailkan afidavit, keterangannya mempunyai asas kerana beliau dapat menjawab soalan mahkamah secara terperinci.
Hakim itu berpuas hati bahawa Vikneshvra bukan dengan sengaja mengingkari perintah mahkamah, sebaliknya berpunca dari masalah kewangan dan kesempitan hidup yang dihadapinya.
“Setelah mendengar pihak terbabit termasuk defendan, saya mendapati terdapat asas bagi apa yang telah dinyatakannya.
“Saya mendapati plaintif gagal membuktikan melampaui keraguan munasabah yang defendan gagal mematuhi perintah mahkamah dan saya menganggap bahawa kegagalannya untuk patuh adalah tidak disengajakan,” katanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan Vikneshvra menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat satu muka surat penuh di akhbar The Star dan Harian Metro dalam tempoh empat hari bekerja.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu untuk menyediakan draf permohonan maaf itu serta-merta pada hari ini, dengan kandungannya mestilah memuaskan hati pihak plaintif.
Arziah juga mengarahkan kos penerbitan didahulukan oleh plaintif sebelum dibayar oleh defendan sebaik sahaja jumlahnya dimaklumkan.
Bagaimanapun, jika defendan tidak mampu membayarnya, kos penyiaran itu akan dijadikan kos tambahan kepada jumlah kos tertunggak yang sudah diperintahkan sebelum ini.
Mahkamah turut memberi amaran jika perintah itu tidak dipatuhi, Vikneshvra perlu hadir semula pada 2 November ini untuk arahan lanjut, termasuk kemungkinan dikenakan hukuman penjara atau denda.
© New Straits Times Press (M) Bhd




